Peniaga kraftangan di Dataran Pahlawan rayu penempatan baharu

Shuhada Abdul Kadir
Disember 14, 2022 12:58 MYT
Pasukan Bomba melakukan pemeriksaan di Bazar Kraftangan Dataran Pahlawan Megamall susulan kejadian runtuhan siling. -Astro AWANI
BANDAR HILIR: Kira-kira 80 peniaga di Bazar Kraftangan di Dataran Pahlawan, di sini, merayu penempatan baharu yang lebih strategik demi meneruskan perniagaan mereka.
Ini kerana, ujar mereka, lokasi perniagaan yang terlindung dan terperosok di bawah tanah itu menjejaskan pendapatan disebabkan ia jarang dilalui pengunjung selain struktur bangunan yang didakwa merisikokan nyawa.
Apa yang menyedihkan, ujar mereka yang sudah hampir 20 tahun menjalankan perniagaan di lokasi berkenaan, kumpulan peniaga di situ kebanyakannya merupakan peniaga asal kraftangan di negeri Melaka.
Mereka mengakui kecewa apabila kumpulan peniaga asal yang banyak membantu pelancongan Melaka seolah-olah ditindas dan ‘dikuburkan’ apabila terpaksa menjalankan perniagaan di lokasi yang terperosok di bawah tanah yang jarang dilalui pengunjung.
Perniagaan semakin sukar bertahan apabila lambakan kedai kraftangan baharu dibina di bahagian luar bangunan sekali gus mengehadkan kehadiran pengunjung yang kini hanya boleh dikira dengan jari.
Memburukkan keadaan, apabila berlaku kejadian siling runtuh kelmarin yang merosakkan beberapa premis kraftangan.
Mereka mendakwa telah beberapa kali membuat aduan berhubung masalah keretakan siling itu namun tidak pernah dipedulikan.
Dakwa mereka, runtuhan tersebut dikatakan berpunca daripada keputusan pihak pengurusan pusat beli belah yang menjadikan bahagian atas bazar kraftangan itu sebagai tempat letak kereta yang sekali gus melemahkan lagi struktur binaan kawasan terbabit.
Penasihat Persatuan Peniaga, Penjaja, Pengusaha Kecil Melayu Bandar Melaka, Datuk Yusof Abu Hassan berkata, sudah tiba masanya pihak berkaitan memindahkan segera peniaga terbabit ke lokasi yang lebih selamat dan strategik.
Beliau mencadangkan semua peniaga berkenaan ditempatkan di kawasan padang riadah di tingkat paling atas bangunan dataran pahlawan itu.
"Ini kenyataan. Datang ke Dataran Pahlawan, duduk seminggu, kira berapa pelanggan masuk.
"Ini kerana produk yang dijual di sini juga ada dijual di atas... Rumah Merah ada, Medan Samudera ada. Malah akan dibuka lagi 45 unit di hadapan Memorial Kemerdekaan.
"Saya harap perkara ini dapat dipertimbang semula, saya yakin dan percaya kerajaan negeri melalui MBMB (Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah) akan melihatnya secara positif," kata Yusof.
Harapan sama turut dilontarkan Pengerusi Persatuan Peniaga, Penjaja, Pengusaha Kecil Melayu Bandar Melaka, Mohamad Rujahan Sidik yang mahu pihak berkaitan termasuk kerajaan negeri bertindak pantas sebelum sebarang kejadian lebih buruk berlaku.
"Cadangan saya pindahkan ke atas. Buat kedai lebih selesa, sebab di bawah ni bukannya gerai, tapak parkir sebenarnya.
"Yang saya hairan, pada peringkat awal boleh adakan gerai di bawah bersama tapak parkir. Tempat parkir dengan gerai sama paras.
"Patutnya bawah tu tempat parkir. Tak sepatutnya ada gerai di bawah tu," kata Mohamad Rujahan.
Sementara itu, peniaga Abd Rahim Embi, 59, yang telah berniaga di bazar bawah tanah itu sejak 17 tahun lalu berkata pada asalnya seramai 133 peniaga menjalankan perniagaan di lokasi itu, namun kini hanya tinggal 79.
Ujarnya, kebanyakan peniaga terpaksa gulung tikar selain tidak tahan dengan birokrasi sistem pengurusan dan masalah infrastruktur bangunan yang boleh mengancam nyawa.
Jelasnya, beliau amat berharap pihak berkaitan dapat menyediakan ruang baharu termasuk di atas padang Dataran Pahlawan memandangkan perancangan telah dibuat sebelum ini.
"Memang tak relevan, sebab kita dah meniaga di bawah kemudian dia buka lagi gerai di atas. Macam mana kita nak berniaga di bawah.
"Sepatutnya dulu, bila pindah ke bawah, dah tak ada gerai di atas. Bila pindah, berlambak kedai di atas dibuka lagi.
"Memang menjejaskan perniagaan kami. Dulu ada 133 peniaga, sekarang tinggal 79, yang lain semua dah bankrap. Sebab apa? Lambakan peniaga di atas.
"Dulu alhamdulillah, walaupun di bawah, atas tak ada peniaga, kita masih boleh berniaga. Bila atas dah ada banyak kedai, kami yang teruk berniaga di bawah," kata Abd Rahim.
Astro AWANI sedang berusaha mendapatkan komen daripada Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah Zainal Abu berhubung isu ini.
#Dataran Pahlawan #Bazar Kraftangan #pelancongan melaka #Yusof Abu Hassan
;