Peniaga Kompleks Hentian Bas MBKT 'tenat' menunggu pengunjung
Bernama
Januari 23, 2024 21:01 MYT
Januari 23, 2024 21:01 MYT
KUALA TERENGGANU: Kira-kira 200 perniagaan di tingkat atas Kompleks Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini semakin 'tenat' ekoran ketiadaan pelanggan walaupun Terengganu rancak menerima kehadiran pelancong terutama pada musim cuti.
Tinjauan Bernama pada waktu tengah hari di kompleks hentian bas yang terletak di tengah bandar raya itu mendapati lebih separuh daripada sekitar 300 kedai di situ telah ditutup akibat kebanyakan peniaga tidak mampu bertahan lalu 'gulung tikar'.
Seorang peniaga pakaian dan tudung yang masih kekal, Aisah Ismail, 66, berkata suasana sepi itu mula dirasai sekitar 15 tahun lepas dan keadaan bertambah buruk ketika pandemik COVID-19 sehingga ada peniaga yang langsung tidak mempunyai jualan selama seminggu.
"Dahulu berniaga di sini memang laku, makcik boleh buat jualan berbelas ribu ringgit sehari tetapi kini paling tinggi jualan pun dalam RM200 hingga RM300 sehari. Itu pun boleh dikatakan banyak berbanding peniaga lain yang langsung tidak beroleh jualan hingga beberapa hari," katanya ketika ditemui Bernama hari ini.
Aisah yang merupakan antara generasi pertama berniaga di kompleks hentian bas itu lebih 30 tahun lepas, berkata dia masih bertahan berniaga di situ kerana perlu menyara anak bongsunya Nur Fatihah Balqis Abdul Ghani, 22, yang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor.
Seorang lagi peniaga pakaian, Maimun Chik, 71, berkata dia tidak akan melupakan kenangan manis ketika tingkat atas kompleks itu meriah dan sesak dengan kehadiran pembeli terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri.
"Sepanjang minggu terakhir bulan puasa tahun lepas saya hanya dapat jualan dalam RM100 sahaja dan saya rasa raya tahun ini pun sama. Bayangkan hari ini sudah Selasa, saya tidak dapat jual sehelai pakaian pun lagi sejak Sabtu lepas.
"Pendapatan sekarang hanya sekitar RM500 hingga RM600 sahaja sebulan, cukup untuk buat makan. Nasib baik anak-anak semua sudah besar, sebab itu banyak yang masih bertahan di sini peniaga tua macam saya kerana mereka yang muda dan banyak tanggungan tidak boleh bertahan, terpaksa cari kerja lain," katanya.
Nor Zaidi Abdul Rahman, 40, yang berniaga baju dan kain batik Terengganu pula berkata kesukaran untuk mendapatkan tempat meletak kenderaan di kompleks itu menjadi antara faktor kurangnya pengunjung di situ, selain pembangunan pesat Kuala Terengganu yang menyaksikan kemunculan pelbagai pasar raya serta trend pembelian secara dalam talian.
Selain itu, katanya kurangnya promosi daripada pihak berwajib menyebabkan bukan sahaja pelancong, golongan muda di Terengganu juga tidak mengetahui di tingkat atas Kompleks Hentian Bas MBKT terdapat banyak kedai baju, tudung, barang kemas, beg, perkhidmatan menjahit baju dan sebagainya.
"Malah, di sini juga ada tandas dan surau serta banyak kedai makan di tingkat bawah, boleh dikatakan fasiliti di sini lengkap tetapi masih tiada pengunjung. Selalu yang dipromosikan dan menjadi tumpuan pelancong adalah Pasar Kedai Payang, bagaimana pula dengan kami di sini?.
"Di sekitar kompleks hentian bas ini juga ada dua hotel besar dan sekitar lima hotel kecil, kalau pelancong yang menginap hotel itu tahu adanya kawasan beli-belah di sini pasti mereka akan datang kerana dengan hanya berjalan kaki pun boleh sampai," katanya.
Sementara itu, wakil Persatuan Peniaga dan Penjaja Kompleks Hentian Bas MBKT, Esah Zaharah Muhammad berkata selain promosi daripada pihak berwajib termasuk kerajaan negeri, dia berharap keadaan kompleks tersebut yang mengalami pelbagai kerosakan seperti bumbung bocor dapat diselenggara sebaik mungkin.
"Saya sudah 32 tahun berniaga barangan kemas di sini, dahulu orang kata kalau dapat tempat berniaga di sini sangat bertuah sebab maju, tetapi sekarang tiada kemajuan langsung. Hendak letak kereta pun susah, kalau hujan lantai licin kerana bumbung bocor. Jadi kepada mana-mana pihak berwajib tolong prihatin dengan nasib kami," katanya.
-- BERNAMA