Peniaga ketam dipenjara enam bulan, denda RM15,000 kerana hina raja
Adie Sufian Zulkefli
Julai 4, 2024 13:00 MYT
Julai 4, 2024 13:00 MYT
KANGAR: Seorang peniaga ketam dipenjara enam bulan dan didenda RM15,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas kesalahan menghantar perkhidmatan komunikasi jelik mengenai Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di laman Facebook pada Mac lalu.
Tertuduh, Hasbullah Mohammad, 41, dari Changlun, Kedah juga boleh dikenakan penjara tambahan dua bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Hasbullah pada pertuduhan kali pertama April lalu mengaku tidak bersalah namun menukar pengakuannya kepada bersalah ketika prosiding sebutan semula kesnya pada 15 Mei lalu.
Tertuduh kemudian terus mengekalkan pengakuan bersalahnya selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Musyiri Peet hari ini.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Hasbullah didapati melalui perkhidmatan aplikasi Facebook dengan menggunakan nama profil “Muhammad Muhammad (Ku Teh Ku Muhamnad)” secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya terhadap Raja Perlis dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Tertuduh didapati melakukan perbuatan itu pada 6 Mac lalu sekitar jam 3.26 pagi dan hanya disedari pengadu yang juga pelayar Facebook pada 7 pagi hari yang sama.
Oleh hal demikian, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan boleh juga didenda selanjutnya sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwaan Negeri Perlis, Mohd Izham Ali manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Hajar Che Ahmad dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mohd Izham dalam hujahannya memohon mahkamah untuk memberikan satu hukuman yang berat kerana ia membabitkan institusi istana dan kepentingan awam juga perlu diambil kira dalam isu berkenaan.
Perbuatan tertuduh itu adalah serius kerana ia mengheret Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sebagai Ketua Agama Islam negeri dalam hal berkenaan selain mempermainkan isu agama Islam yang begitu sensitif kepada semua pihak.
Selain itu, hantaran tertuduh dalam media sosial adalah kesalahan serius kerana membabitkan isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R) yang dilihat semakin kerap berlaku mutakhir ini.
Sementara itu, Siti Hajar yang mewakili tertuduh pula merayu mahkamah dalam mengambil kira kepentingan awam, hak tertuduh juga perlu dijaga terutamanya tertuduh mempunyai masalah skizofrenia atau masalah kesihatan mental.
Dalam keadaan itu juga, tertuduh terpaksa menanggung ibunya yang uzur dan lumpuh selain mempunyai pendapatan yang tidak menentu sebagai peniaga di Pasar Besar Sena, Kangar.
Mahkamah, bagaimanapu, mendapati Hasbullah bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dari tarikhnya ditangkap serta denda sebanyak RM15,000 dan tambahan penjara dua bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda.