Peniaga kelapa mengaku tidak bersalah rogol anak saudara teman wanita

Sinar Harian
Disember 22, 2024 15:45 MYT
Tertuduh diiringi polis di mahkamah pada Ahad.
JOHOR BAHRU: Seorang peniaga kelapa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad, atas tiga pertuduhan merogol seorang remaja perempuan yang juga anak saudara teman wanitanya di bilik sewa sebuah hotel di Tampoi di sini, Julai lalu.
Loh Kam Faht, 35, membuat pengakuan berkenaan di hadapan hakim, Siti Noraida Sulaiman setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kepada ketiga-tiga pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah hotel di Tampoi sekitar jam 10.30 pagi pada 2, 9 dan 29 Julai 2024 lalu.
Bagi kesemua pertuduhan tersebut, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan hendaklah diseksa dengan hukuman penjara bagi tempoh yang boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin sementara tertuduh diwakili peguam Syufri A Samad dan Mohd Fahmi Jamil.
Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM30,000.
Bagaimanapun peguam tertuduh memohon jaminan yang bersesuaian kerana tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap selain menanggung ibunya yang berusia 68 tahun dan menghidap kencing serta sakit jantung.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM20,000 berserta tiga syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mana-mana saksi pendakwaan, perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Mahkamah turut menetapkan tarikh 4 Februari 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen. - Sinar Harian
#kes rogol remaja #keputusan mahkamah #teman wanita #kes mahkamah
;