Peniaga kedai runcit didakwa membunuh
Astro Awani
Disember 27, 2017 12:32 MYT
Disember 27, 2017 12:32 MYT
Seorang peniaga kedai runcit dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di Kampung Baru Sungai Mas, Bandar Penawar, awal bulan ini.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Zalihah Mohamad Yusof.
Tertuduh, Alemi Azuan Sanip 29 tahun didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 yang boleh dihukum gantung sampai mati.
Alemi Azuan turut didakwa dengan niat melakukan bunuh ke atas seorang lelaki berusia 24 tahun pada 3 Disember hingga 14 Disember lalu di antara 7.30 malam hingga 12 tengah hari di Jalan Kampung Baru Sungai mas, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguambela.
Zalihah menetapkan 28 Januari 2018 sebagai sebutan semula kes selepas menerima laporan kimia.