Peniaga kecil atas talian perlu dikecualikan cukai - KJ
Azyyati Ahmad
Mei 18, 2016 14:43 MYT
Mei 18, 2016 14:43 MYT
Syarikat kecil dan sederhana yang memilih untuk berniaga secara atas talian perlu dikecualikan dari dikenakan cukai.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berharap agar kerajaan menetapkan sebuah had pendapatan sebelum mengira cukai untuk sesuatu syarikat atas talian dan bukan untuk semua.
Kata Khairy, pengecualian itu bakal memupuk pertumbuhan yang besar di kalangan syarikat- digital yang baru dibangunkan oleh usahawan muda yang hanya perlu membayar cukai selepas mereka menjana sesuatu had nilai pendapatan.
"Sekiranya kita (kerajaan) mencadangkan percukaian ke atas peniaga-peniaga atas talian, kita perlu wujudkan had nilai tertentu dari jumlah pendapatan yang ditetapkan.
“Ini supaya kita dapat memberi pengecualian kepada syarikat-syarikat kecil yang baru bermula, kalau tidak pengenaan cukai akan menjadi beban dan halangan kepada pertumbuhan syarikat ini,” kata Khairy.
Beliau ditemui selepas melancarkan program Jom Belajar Koding (JBK) anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Rabu.
Dalam pada itu kajian mengenai cadangan cukai untuk perniagaan atas talian sedang dilakukan buat masa ini dan mungkin dikongsikan oleh Kementerian Kewangan dalam masa terdekat.