Peniaga jangan ambil kesempatan beli minyak masak 1kg - KPDNKK
Harits Asyraf Hasnan
November 3, 2016 16:49 MYT
November 3, 2016 16:49 MYT
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyeru kepada para peniaga untuk tidak mengambil kesempatan dengan membeli minyak masak bersubsidi.
Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Roslan Mahayudin berkata, pihaknya menyedari sebelum ini bahawa para peniaga sering membeli minyak masak paket bersaiz satu kilogram di pasar raya secara borong.
"Kita sedar perkara ini, memang peniaga-peniaga yang ramai membeli paket satu kilogram ini. Tak perlu komenlah. Ini melibatkan polisi.
"Tapi saya menyeru di sini supaya peniaga-peniaga jangan mengambil kesempatan mengambil hak yang sepatutnya untuk rakyat yang sepatutnya mendapat subsidi. Jangan mereka merampas hak itu dengan sebegitu banyak.
"Kita sedar sebelum ini peniaga-peniaga ini datang ke tempat seperti ini (pasar raya), dengan membawa troli, kemudian mengisi penuh paket satu kilogram itu dalam troli yang mereka bawa," katanya kepada media ketika melakukan lawatan pemeriksaan minyak masak di Tesco Bukit Mahkota di sini hari ini.
Tambahnya, pengguna tidak perlu membuat pembelian panik kerana jualan minyak masak di pasaran pada ketika ini mencukupi.
"Hasil pemantauan dan pemeriksaan kita melibatkan pasar raya dan kedai-kedai yang menjual minyak masak, ia berada pada tahap mencukupi.
"Jadi para pengguna tidak perlu panik dengan membuat pembelian secara skala besar atau borong," katanya.
Pada masa sama, pihak KPDNKK juga sedang mengkaji mekanisme yang sesuai untuk menetapkan harga siling minyak masak bagi jualan kepada pengguna isi rumah.
#kementerian perdagangan dalam negeri
#Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyedari bahawa minyak masak bersaiz lima kilogram menjadi pilihan utama pengguna
#KPDNKK
#minyak masak