Peniaga Jalan TAR turunkan harga jualan untuk habiskan stok

Sinar Harian
April 8, 2024 13:30 MYT
Jalan TAR sesak dengan kehadiran orang ramai membeli persiapan hari raya pada malam Ahad. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Peniaga yang menawarkan kelengkapan hari raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini dilihat mula menawarkan ‘harga runtuh’ bagi menarik minat pembeli ke gerai jualan masing-masing.
Tinjauan Sinar Harian pada malam Ahad mendapati rata-rata peniaga turut membuat pelbagai promosi menghabiskan stok jualan.
Peniaga, Muaz Azmi, 40, berkata, jika sebelum ini sepasang baju Melayu serta sampin dijual pada harga RM159, kini harga telah diturunkan kepada RM80 hingga RM100 sepasang.
“Kami perlu habiskan stok sebab esok hari akhir berniaga, kalau jual dengan harga ini kira dapat pulang modal pun tak jadi masalah daripada tanggung rugi,” katanya.
Peniaga biskut raya, Hasnah Borhan, 45, mengakui jualan agak perlahan pada Ramadan kali ini kerana kuasa beli agak kurang.
“Sekarang saya bagi harga paling murah iaitu enam balang boleh campur berlainan jenis biskut pada harga RM80,” katanya yang sudah 10 tahun berniaga di situ.
Sementara itu, peniaga tudung, Mohd Razis Othman, 37, berkata gerai jualannya menawarkan dua buah motosikal dan tiga loket emas bagi menarik minat orang ramai berbelanja di kedainya.
“Mereka yang membeli RM100 ke atas layak menyertai cabutan bertuah dan dan berpeluang untuk memenangi hadiah yang ditawarkan,” katanya. - Sinar Harian
#Aidilfitri #jalan tar #harga runtuh #Malam raya
;