Peniaga jadi mangsa 'phone scam', rugi RM692,500
Bernama
Februari 14, 2024 22:15 MYT
Februari 14, 2024 22:15 MYT
KOTA BHARU: Seorang peniaga berputih mata selepas mengalami kerugian berjumlah RM692,500 akibat terperdaya dengan sindiket penipuan 'phone scam' yang mendakwa mangsa terbabit dengan kegiatan pengubahan wang haram dan penyeludupan dadah, dua minggu lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata lelaki berusia 38 tahun itu menerima panggilan telefon pada 28 Jan lalu daripada individu yang mendakwa dari Komunikasi Digital di Putrajaya yang kononnya mangsa terlibat dengan penipuan wang haram.
"Panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang lindividu yang mengaku sebagai ACP Ismail dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar, Perlis sebelum diminta memuat turun aplikasi Bank Negara Malaysia serta mengisi maklumat diri akaun Affin Bank dan Bank Islam miliknya.
"Mangsa pada 30 Jan lalu, memindahkan wang sebanyak RM300,000 dari akaun Affin Bank miliknya ke akaun pihak ketiga (mule) secara berperingkat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata mangsa seterusnya pada 4 Feb lalu telah memindahkan sebanyak RM400,000 dari Tabung Haji ke dua akaun miliknya.
"Pada 6 Feb, suspek telah melakukan pemindahan wang milik mangsa ke dua akaun bank berbeza secara berperingkat.
"Semasa mangsa membuat semakan terhadap akaun miliknya itu, dia mendapati wang telah hilang sebanyak RM692,500 dan terus bertindak menyekat kesemua akaun bank miliknya," katanya.
-- BERNAMA