Peniaga India tempatan bertindak balas terhadap pesta perdagangan

Bernama
Julai 11, 2013 17:04 MYT
Peniaga India tempatan dari tempat membeli belah utama di seluruh negara akan menutup kedai mereka, sehari, pada 16 Julai sebagai membantah karnival beli belah dan pesta perdagangan di negara ini yang disertai peniaga asing.
Presiden Pertubuhan Peniaga Tekstil dan Barang-barang Am India Malaysia (MITA), R.Moorthy Ramasamy, berkata karnival yang dianjurkan semasa musim perayaan menjejaskan pendapatan peniaga tempatan terutama di Little India.
"MITA mahu karnival seperti ini dihentikan segera dan kami telah menghantar banyak memorandum termasuk kepada perdana mneteri bagi menyelesaikan perkara itu tetapi menampakkan hasil.
"Oleh itu, sebagai pilihan terakhir, peniaga tekstil tempatan, pemilik kedai barang kemas kostum dan restoran sebulat suara bersetuju menutup operasi perniagaan bagi membantah perkara itu. Malah, penjual sayur yang teruk terjejas dengan peniaga asing menyokong kami," katanya kepada Bernama.
Katanya pesta perdagangan anjuran syarikat pengurusan acara tempatan dikhususkan untuk penyertaan pekilang dari India, Pakistan dan Bangladesh bagi memperkenalkan produk mereka kepada peniaga tempatan.
Bagaimanapun, objektifnya berubah sepanjang tahun kerana peniaga asing yang terlibat dalam pesta perdagangan itu mula membuat jualan runcit kepada pelanggan tempatan.
"Mereka mengaut untung besar sehingga menjejaskan peniaga tempatan dan ini tidak adil kepada kebanyakan mereka yang membayar cukai," katanya.
Setiausaha MITA, Maheswary Ramasamy, berkata tindakan membawa peniaga asing dalam pesta perdagangan adalah tidak baik kepada ekonomi negara kerana ia menyebabkan pengaliran keluar wang.
Beliau berkata ramai peniaga kecil India tempatan mendapati sukar untuk pulang modal akibat pesta seumpama itu dan lebih buruk lagi ada yang terpaksa tutup kedai.
Sementara itu, seorang pemilik kedai menjual sari, Surendran Subramaniam, 39, dari Sungai Petani, Kedah, berkata isu peniaga asing 'mencuri peluang' peniaga tempatan menjadi isu nasional dan perlu ditangani segera oleh kerajaan.
Sebelum ini, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MICCI) Pulau Pinang N Vasantharajan berkata 120 peniaga di Little India, George Town akan menutup kedai mereka pada tarikh itu sebagai membantah karnival beli belah India yang dijadual diadakan bulan depan.
Vasantharajan dilaporkan sebagai berkata karnival yang membabitkan penyertaan peniaga dari India menyebabkan peniaga "Little India' kerugian RM10 juta.
#India #karnival #Little India #peniaga #peniaga asing
;