Peniaga ditahan sorok rokok tanpa cukai dalam kereta
Dewi Nur Harasha Alias
Jun 24, 2021 00:23 MYT
Jun 24, 2021 00:23 MYT
BUKIT MERTAJAM: Tindakan seorang peniaga menyorok 1,350 karton rokok tidak bercukai bernilai RM200,000 di dalam van miliknya membawa padah apabila ditahan polis.
Lelaki berusia 44 tahun itu ditahan semasa pemeriksaan di Taman Cendana Permai, Simpang Ampat Pulau Pinang pada jam 10.30 pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata taktik lelaki itu terbongkar selepas Polis Marin Wilayah Satu Batu Uban yang membuat pemeriksaan curiga dengan muatan yang dimuatkan dalam van jenis Nissan NV200 itu.
"Terdahulu anggota polis membuat pemerhatian selama 15 minit, selepas mendapati kenderaan itu membawa muatan mencurigakan dan pemeriksaan lanjut kemudian menemui 27 kotak besar yang disorok di dalam bonet kenderaan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, kotak-kotak tersebut mengandungi 1,350 karton rokok tidak bercukai.
Shafee berkata, pelbagai rokok berjenama tanpa cukai dirampas dan polis turut menyita van berkenaan yang dianggarkan bernilai RM60,000 dengan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM274,002.
Sementara itu siasatan lanjut mendapati, suspek memiliki empat rekod berkaitan jenayah selain enam rekod berkaitan dadah.
Kes itu disiasat di bawak seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
#sorok rokok
#rokok tidak bercukai
#Taman Cendana Permai
#Polis Daerah Seberang Perai Tengah
#Akta Kastam 1967