Peniaga didenda RM1,500 miliki 41 pucuk senjata tiruan

Bernama
November 10, 2023 15:05 MYT
Dia dituduh mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau denda maksimum RM5,000. - Gambar/ Sinar Harian
MELAKA: Seorang peniaga barangan hobi didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini kerana memiliki 41 pucuk senjata tiruan tanpa kebenaran.
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Hamdihafizi Ab Karim, 33, dan memerintahkannya dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Hamdihafizi dituduh memiliki 41 pucuk senjata tiruan iaitu pistol, raifal dan senapang patah selain busur dan ball bearing tanpa kebenaran yang sah di sebuah premis di Lot 86, Jebat Street Klebang, pada 10 malam 14 Ogos lepas.
Dia dituduh mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau denda maksimum RM5,000.
Hamdihafizi yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon denda paling minimum kerana dia hanya bekerja sebagai peniaga barangan hobi manakala Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman setimpal agar menjadi pengajaran kepada tertuduh.
-- BERNAMA
#kes mahkamah #hukuman denda #Melaka #senjata tiruan
;