Peniaga didakwa sebabkan kecederaan pembantu rumah warga Indonesia

Bernama
September 29, 2023 15:14 MYT
Lee Chee Huat didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas pembantu rumahnya, Darsinih di sebuah unit pangsapuri di Metro Prima, Sentul Jumaat lepas. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang pembantu rumah warga Indonesia menggunakan batang besi penyedut habuk.
Lee Chee Huat, 46, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas pembantu rumahnya, Darsinih, 29, di sebuah unit pangsapuri di Metro Prima, Sentul di sini, kira-kira 10.30 pagi, Jumaat lepas (22 Sept).
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin namun peguam Vincent Chew yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum dikenakan ke atas anak guamnya.
Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai dan menetapkan sebutan semula kes pada 3 Nov ini.
Pada Rabu lepas, media melaporkan mangsa dilihat berada di pintu rumah pangsapuri berkenaan selama 15 minit sambil memerhatikan pekerja sebuah syarikat logistik memindah masuk barang di rumah jirannya.
Wanita itu kemudian memberanikan diri meminta bantuan daripada pekerja terbabit untuk membantu menyelamatkannya dengan menghubungi pihak berkuasa.
-- BERNAMA
#peniaga didakwa #pembantu rumah indonesia #batang besi penyedut habuk #Mahkamah Majistret
;