Peniaga dan pengusaha PKS disaran sertai Program Transformasi Produk

Bernama
September 5, 2020 05:37 MYT
KPDNHEP juga merancang untuk memperluaskan kempen itu di luar negara. -Gambar hiasan
Peniaga dan pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) harus merebut peluang memasarkan produk mereka menerusi Program Transformasi Produk oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata inisiatif itu disediakan untuk membantu peniaga dan pengusaha PKS agar produk mereka mendapat tumpuan di pasar raya besar.
"Justeru, kementerian menyeru kepada peniaga dan pengusaha untuk mengambil peluang berjumpa dengan pegawai-pegawai berkenaan di bawah KPDNHEP untuk mendapatkan maklumat bagi mempromosikan produk mereka.
"Kita telah bekerjasama dengan pasar raya dan pusat beli belah untuk menyediakan tempat yang menarik bagi mempamerkan produk PKS dan ia akan menarik perhatian orang ramai," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dan Program Jualan Malaysia (PJM) peringkat Sandakan di sini.
Rosol berkata menerusi program itu, peniaga dan pengusaha PKS akan diberi bantuan dan bimbingan dalam aspek pembungkusan dan pelabelan produk supaya produk mereka lebih menarik dan menepati piawaian untuk menembusi pasar raya besar di negara ini.
Mengenai KBBM dan PJM, beliau berkata sambutan terhadap pembelian barang buatan Malaysia sangat menggalakkan sejak dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Julai lepas.
Menurutnya, KPDNHEP juga merancang untuk memperluaskan kempen itu di luar negara.
-- BERNAMA
#KBBM #Kempen Beli Barangan Malaysia #KPDNHEP #Muhyiddin Yassin #PKS #Program Jualan Malaysia #Rosol Wahid #Sandakan #usahawan
;