Peniaga dalam talian didakwa tipu perkhidmatan pemasangan dekorasi majlis

Bernama
Januari 5, 2023 15:08 MYT
Siti Helena Azmi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas pertuduhan menipu berkenaan servis pemasangan dekorasi majlis sambutan hari jadi dan akikah tahun lalu. - Gambar BERNAMA
SHAH ALAM: Seorang peniaga dalam talian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu berkenaan perkhidmatan pemasangan dekorasi majlis sambutan hari jadi dan akikah yang tidak wujud.
Siti Helena Azmi, 32, didakwa memperdaya Tengku Kamirul Rashid Tengku Mohd Kamil berhubung pemasangan dekorasi dan akikah itu sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM700 melalui akaun BigPay.
Ibu tunggal itu dituduh melakukan perbuatan tersebut di Residensi Persiaran Hijau Kasturi, Cahaya SPK, Shah Alam pada 7 Julai 2022 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farah Sofea Norazman menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Peguam Shalehhuddin Salam yang mewakili Siti Helena memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya menanggung seorang anak perempuan berusia lima tahun.
"Anak guam saya juga kini memperoleh pendapatan tidak menentu sebagai peniaga dalam talian selain dia juga memberi kerjasama penuh kepada polis dan tidak berisiko untuk melarikan diri," katanya.
Mahkamah membenarkan Siti Helena diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Mac depan untuk sebutan semula kes. - BERNAMA
#peniaga dalam talian #didakwa menipu #pemasangan dekorasi majlis #Residensi Persiaran Hijau Kasturi
;