Peniaga dakwa UDA mungkir janji, 'kuburkan' peniaga bumiputera di ibu kota

Wan Syamsul Amly
Oktober 16, 2014 16:49 MYT
Peniaga bumiputera di Plaza BB mendakwa UDA mungkir janji, tergamak 'kuburkan' peniaga bumiputera di ibu kota. -Gambar fail
Kemelut penyewaan premis di Plaza Bukit Bintang disifatkan semakin serius apabila UDA Holdings Bhd (UDA) dikatakan mungkir janji apabila meminta peniaga mengosongkan tapak perniagaan mereka sebelum penghujung tahun ini.
Malahan, kata Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga BB Plaza KL, Hassan Saad, hak mereka untuk bertemu dan berbincang dengan pengurusan tertinggi UDA selama ini terus dinafikan.
"Masalah berlaku disebabkan pembinaan stesen Transit Aliran Massa (MRT) di tapak plaza ini yang menjejaskan perniagaan penyewa-penyewa sejak Julai 2012 sehingga sekarang.
"Masalah ini mendapat perhatian Kementerian berkenaan satu masa dahulu, tetapi di bawah menteri yang berlainan daripada sekarang.
"Dalam tempoh lebih 24 bulan dgn pertukaran dua pengerusi, kita lihat UDA masih gagal menunaikan janji-janji yang dipersetujui sebelum ini," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Jelas Hassan, antara janji yang didakwa dimungkiri antara Persatuan Penyewa BB Plaza dengan pengurusan UDA adalah keengganan untuk berjumpa dan menyelesaikan tuntutan penyewa.
"Kita mengalami kerugian lebih 80 peratus daripada jualan harian dan menyebabkan kesukaran untuk menjelaskan sewa bulanan.
"UDA perlu memberi jaminan notis penamatan sekurangnya enam bulan sebelum tarikh akhir bangunan perlu dikosongkan.
"Bagaimana pula dengan bayaran pampasan kepada penyewa berikutan masalah tersebut?," ujarnya.
Peniaga di Plaza BB perlu mengosongkan premis perniagaan mereka sebelum 31 Disember tahun ini untuk kerja-kerja meroboh bangunan dimulakan - Gambar Astro AWANI
Dalam pada itu Hasan turut meminta UDA memberi jaminan untuk menawarkan semula lot-lot perniagaan kepada penyewa di bangunan baharu kelak.
"UDA gagal memberi kadar diskaun sewa yang munasabah dengan kerugian penyewa selama ini dan gagal memaklumkan mengenai hala tuju dan masa depan penyewa," jelasnya.
Tegasnya, penindasan ke atas penyewa ini berpunca daripada kelemahan pengurusan UDA sendiri.
"Mereka lupa selama lebih 30 tahun ini, kamilah yang menyumbang kepada keuntungan UDA.
"Pengurusan UDA yang ada sekarang mementingkan diri sendiri tanpa pertimbangan rasional terhadap penyewa.
"Penyelewengan kuasa dan rasuah yang berleluasa di kalangan pengurusan UDA melalaikan tanggungjawab mereka terhadap penyewa sendiri," ujarnya.
Oleh itu, tambah Hasan, pengurusan UDA perlu keluar daripada berselindung di sebalik alasan dan mengakui masalah sebenar berpunca daripada mereka.
"BB Plaza akan ditutup pada 31 Disember, tetapi tiada sebarang notis diterima.
"Kita akan menyaksikan nasib penyewa bumiputera dalam bandar akan pupus di sebalik janji dan komitmen UDA untuk membantu," katanya.
Peniaga di Plaza BB perlu mengosongkan premis perniagaan mereka sebelum 31 Disember tahun ini untuk kerja-kerja meroboh bangunan dimulakan - Gambar Astro AWANI
Katanya, Plaza BB akan menjadi 'kubur' kepada penyewa bumiputera walau pelbagai usaha dibuat untuk menyelamatkan keadaan.
"Semuanya tidak mendapat sambutan UDA.
"UDA juga bersikap prejudis dan memperlekehkan kami," jelasnya.
Hasan memberitahu, para peniaga terbabit akan mengadakan piket aman bagi membantah tindakan UDA ke atas mereka pada Jumaat.
Surat makluman piket aman yang akan dilakukan peniaga di Plaza BB pada Jumaat - Gambar Astro AWANI
#Bumiputera #Disember #janji #kosong #MRT #peniaga #penyewa #plaza #UDA
;