Peniaga buntu, minta tangguh arahan pindah ke tapak baharu

Ridauddin Daud
Jun 6, 2021 16:10 MYT
Beginilah keadaan perniagaan mereka saban hari, lengang, tidak ramai yang singgah, jauh berbeza daripada dahulu. - Astro AWANI
SUNGAI BULOH: Sudahlah pendapatan terjejas teruk, kini diberi notis untuk menutup perniagaan dan berpindah ke lokasi lain pula.
Andainya mahu pindah, pasti ada kos yang perlu ditanggung. Tapi sekiranya tidak pindah, bimbang dikenakan tindakan pula.
Itu dilema penjaja kecil di Bandar Baru Sungai Buloh yang kini buntu memikirkan nasib mereka apatah lagi dengan ekonomi yang tidak menentu sekarang.
Peniaga kecil seperti mereka, sehari berjualan kadangkala tidak seberapa hasilnya, tapi cukuplah untuk memastikan makanan di atas meja sentiasa ada.
Jumlah pelanggan yang merosot teruk membuatkan mereka kini ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, hanya mampu bertahan demi kelangsungan perniagaan.
Timbul pula isu sebegini, ia semakin menyesakkan dada.
Bagi peniaga, Mohd Erwan Manap, mereka bukannya menolak pembangunan, namun berdasarka notis yang dikeluarkan, terlampau singkat masa yang diberikan.
"Pemindahan melibatkan kos dan kami juga tak diberitahu sama ada penempatan sementara itu disiapkan keperluan atau sebarang utiliti atau tidak.
"Kami teragak-agak nak pergi (pindah lokasi baharu). Kalau kami tutup di sini dan buka di sana tanpa sebarang kemudahan, macam mana kami nak hidup?" soalnya.
Kebimbangan sama turut dikongsikan dua lagi peniaga, Khairul Ismadi Syed Mahadzir dan Ubaidullah Hamid.
Malah, Ubaidullah yang mesra disapa sebagai Pak Din berkata, sekiranya dipindah ke lokasi lain, dia tidak lagi mampu untuk meneruskan perniagaan.
"Kalau tak dapat berniaga sini, memang saya tak berniaga sebab saya orang kelainan upaya (OKU), mata tak nampak.
"Memang tak berniagalah, bawa motor tak boleh, bawa kereta tak boleh, jalan kaki je ke sana sini. Kalau pergi jauh sangat, macam mana saya nak pergi," ujarnya.
"Tempat projek yang nak buat pun tiada signboard atau apa-apa, jadi kita tiada jaminan. Tiada jaminan itu yang saya takut nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
"Apa yang dijanjikan kepada kami? Orang berniaga sini pun, macam saya baru 40 tahun lebih (umur), tapi yang lain di sini ada yang 50 tahun lebih umurnya, kos nak bawa ke sana itu agak jauh bagi mereka," kata Khairul Ismadi.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Perjuangan Masyarakat Kota (PERKATA), Adzly Ab Manas berpendapat isu tersebut sebenarnya boleh diselesaikan dengan baik antara peniaga dan pihak berkuasa tempatan.
Tegasnya, mengarahkan peniaga berpindah tatkala pendapatan mereka terjejas teruk akibat pandemik bukanlah tindakan yang sesuai pada masanya.
"Penjaja di sini bukan nak menolak pembangunan, mereka nak tempat yang lebih baik.
"NGO kami nak memastikan pelaksanaan perjalanan ini ada check and balance, telus dan mengikut kesesuaian keadaan sekarang di mana sekarang ini tak sesuai dalam darurat, lockdown ini," katanya.
Bagi peniaga, mereka tidak langsung berniat untuk membantah namun berharap suara mereka didengari kerana bukan mudah untuk terus bertahan pada waktu sebegini.
#peniaga #penjaja #kecil #pandemik #COVID-19 #peniaga jalanan #makanan #NGO #ekonomi #OKU #pendapatan
;