Peniaga bumiputera tidak mampu lawan Suria KLCC - Pengarah Kelantan Delights

Wan Syamsul Amly
Februari 18, 2015 07:55 MYT
PENGARAH KELANTAN DELIGHTS: Peniaga bumiputera tidak mampu lawan Suria KLCC - Gambar fail
Peniaga bumiputera di Suria KLCC disifatkan tidak dapat 'hidup' lama di lokasi itu kerana tekanan pengurusan pusat membeli belah terkemuka berkenaan.
Pengarah Kelantan Delights, Juhaidi Yean Abdullah berkata, lebih malang kini tekanan berpindah lokasi turut diberi kepada hampir kesemua peniaga jika tidak mengikuti beberapa undang-undang yang dibentuk untuk mengaut keuntungan segera.
"Tiga tahun mesti kena pindah lokasi, jika selalu bodek pengurusan, peniaga akan selamat tetapi jika kebanyakan peniaga bumiputera yang dikategorikan 'nyawa-nyawa ikan' ini berniaga, kita akan berdepan pindah ke hujung bangunan, bersebelahan tandas atau terus gulung tikar.
"Peniaga bumiputera di KLCC kini difahamkan kurang 10 premis sahaja, yang tinggal ini pun semuanya di lokasi tidak strategik, kini pengurusan cuba mencari mangsa baru dengan menarik peniaga lain dalam permainan mereka," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Juhaidi mengulas laporan sebuah akhbar mengenai keluhan Pengasas BritishIndia, Pat Liew yang memfailkan saman terhadap pengurusan Suria KLCC kerana cuba mengeluarkan butik itu dari premisnya.
Sebelum itu, Liew telah memohon injunksi untuk menghalang pengurusan Suria KLCC daripada menjalankan ancaman mereka dan perintah halangan dijadualkan berlaku pada 24 Februari ini.
Katanya, syarikat yang menyewa di Suria KLCC sejak 1998 itu turut diberi empat hari untuk menerima tawaran tanpa syarat sama ada untuk berpindah ke lokasi lain atau diletakkan ke tempat lain.
Kenyataan itu turut disokong Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di dalam laman Facebooknya yang meminta pengurusan Suria KLCC untuk memainkan peranan untuk mempromosikan jenama-jenama negara.
Khairy turut mengakui, kebanyakan premis berkenaan 'disorok' di lokasi-lokasi pinggiran selain menyifatkan Suria KLCC tidak bersungguh mempromosikan jenama negara.
Pada 31 Ogos 2007, kisah sedih Juhaidi bermula selepas dia mengucapkan ‘'salam terakhir'’ kepada dua sahabat yang akhirnya terpaksa menghentikan perniagaan di kompleks membeli-belah terkemuka itu.
Juhaidi pada waktu itu terpaksa melepaskan premis mereka selepas pihak pengurusan menaikkan sewa tapak lebih 50 peratus setiap tiga tahun.
Selain sewa dinaikkan pada kadar yang terlalu tinggi, peniaga terbabit juga diberi notis berpindah ke lokasi lain selain diminta membuat pengubahsuaian konsep dan pelbagai alasan yang tidak munasabah.
Dalam pada itu katanya, Pat Liew membuat tindakan betul dan diharap membuka mata pengurusan serta orang ramai.
"Biar orang tahu apa masalah di Suria KLCC. Mereka nampak gah berniaga namun hakikatnya sengsara.
"Pat Liew membuat tindakan betul dengan menyaman pengurusan KLCC, kita memberi sokongan moral selain mengakui tidak mampu menyaman dahulu kerana kekurangan sumber kewangan," jelasnya.
Katanya, 'skandal' dalaman pengurusan Suria KLCC yang menekan peniaga diharap diselesaikan demi kelangsungan perniagaan di sana.
"Kita tidak dibenarkan mempertahankan diri dan hanya mengangguk di atas semua arahan yang diberi. Jika melawan, tunggulah nasib kamu nanti.
"Kita juga tidak boleh membuat sebarang kesatuan atau gabungan peniaga di sana ... itu undang-undang yang harus dipatuhi," ujarnya.
Ujarnya lagi, peranan kerajaan dan menteri-menteri Kabinet diharap dapat memberi dimensi baharu kepada baki peniaga bumiputera di Suria KLCC.
"Kita faham semua pihak tersepit di antara kasihan kepada peniaga bumiputera dan pengurusan KLCC yang merupakan ikon kemajuan negara.
"Namun jika ia tidak diberi perhatian segera, kita tidak boleh bayangkan apa lagi yang akan terjadi kepada peniaga bangsa lain yang mencari rezeki di sana," katanya.
#Bumiputera #KHAIRY #peniaga #Suria KLCC #UMNO
;