Peniaga bukan Islam di Perak digalak daftar Program Menu Rahmah
Bernama
Februari 7, 2024 08:10 MYT
Februari 7, 2024 08:10 MYT
IPOH: Peniaga makanan bukan Islam di Perak yang menjual pada harga berpatutan digalakkan untuk mendaftarkan premis mereka di bawah inisiatif Program Menu Rahmah.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Woo Kah Leong berkata berdasarkan tinjauan, beberapa premis makanan di Perak masih tidak mendaftarkan premis mereka di bawah inisiatif Program Menu Rahmah di laman rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Beliau berkata program Menu Rahmah tidak terhad kepada sesuatu kaum sahaja kerana semua pihak yang menjual makanan pada harga bawah RM5 boleh menyertai inisiatif berkenaan.
"Statistik peniaga makanan yang berdaftar menerusi inisiatif Program Menu Rahmah di Perak masih berada pada tahap sederhana sahaja disebabkan masih ramai lagi yang tidak berdaftar," katanya pada sidang media selepas merasmikan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2024 peringkat negeri Perak di sebuah pasar raya di Bercham di sini semalam.
Sementara itu, Woo berkata sebanyak 175 pegawai penguat kuasa dan 70 pegawai pemantau harga KPDN Perak ditugaskan untuk melakukan pemeriksaan serta pemantauan di lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah di seluruh negeri sepanjang musim perayaan.
"Selain memantau harga barangan, KPDN dengan kerjasama pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut melakukan pemantauan bekalan barangan yang dikawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan SHMMP," katanya.
Selain itu, beliau turut menasihati peniaga agar mematuhi harga barangan ditetapkan dan menggunakan tanda harga yang betul bagi mengelakkan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 sekiranya gagal berbuat demikian.
-- BERNAMA