Peniaga besi buruk didakwa edar 569.5 kilogram dadah
Abd Razak Mohd Ali
Januari 22, 2019 18:05 MYT
Januari 22, 2019 18:05 MYT
Seorang peniaga besi buruk didakwa di Mahkamah Majistret Taiping pada Selasa atas tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 569.5 kilogram.
K. Thinagaran, 38, dari Ipoh, dituduh melakukan kesalahan itu di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Taiping arah utara pada 12 Januari lalu.
Majistret Mohd Hairol Jemain menetapkan tarikh sebutan semula pada 1 April depan bagi mendapatkan laporan kimia dan keterangan percakapan tertuduh.
Bagaimanapun tiada jaminan dibenarkan kerana kes dibicarakan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Azrul Faidz Abd Razak manakala terduduh diwakili peguam Charan Singh.
Pada 14 Januari lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memberitahu seorang lelaki ditahan dan dadah syabu seberat 569.5 kilogram dalam sebuah kontena dalam serbuan di R&R Taiping pada 12 Januari.