Peniaga bazar Ramadan terima ujian besar pada hari pertama
Astro Awani
April 14, 2021 12:54 MYT
April 14, 2021 12:54 MYT
KUALA LUMPUR: Bulan Ramadan disambut meriah oleh umat Islam di seluruh dunia walaupun berdepan pandemik COVID-19.
Di Malaysia, selain daripada beribadat, bulan ini sinomin dengan kemeriahan bazar Ramadan bagi menikmati juadah yang jarang ditemui sepanjang tahun.
Kebenaran untuk peniaga memulakan operasi mereka turut disambut meriah selepas berbulan hilang punca pendapatan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Namun, bagi peniaga di beberapa bazar Ramadan, keadaan ribut dan banjir kilat yang melanda Lembah Klang pada Selasa memberi ujian hebat pada 1 Ramadan.
Bukan sahaja tidak terima pengunjung, tetapi kanopi gerai mereka turut diterbangkan angin kencang yang menyebabkan mereka kerugian pada hari tersebut.
Beberapa video dan foto yang sempat dirakam orang ramai menunjukkan keadaan itu di beberapa lokasi.
Muat naik itu turut mendapat reaksi netizen yang menggesa para peniaga untuk tidak berputus asa.
Mereka turut menggesa para peniaga untuk reda dan berlapang dada dengan segala ujian yang diterima terutamanya ketika bulan Ramadan yang mulia ini.