Peniaga bazar Ramadan disaran sedia Menu Rahmah, harga patut - Datuk Bandar

Aida Aziz
Februari 14, 2023 09:15 MYT
Rumaizi merasmikan pembukaan Kafe Lalaland di Jalan Lasam, Ipoh, pada Isnin. - Foto Majlis Bandaraya Ipoh
IPOH: Para peniaga yang bakal menjalankan perniagaan di bazar Ramadan pada Mac, disarankan menyediakan Menu Rahmah kepada orang ramai.
Pada masa sama, Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata, peniaga juga diingatkan supaya mengenakan harga lebih berpatutan untuk membantu meringankan beban pembeli.
"Perkara ini memang kita galakkan sebab sebelum ini pun sudah kita maklumkan. Kalau boleh kita mahu seramai mungkin peniaga tawarkan Menu Rahmah. Ia baik untuk rakyat.
"Kita galakkan supaya bukan sekadar Menu Rahmah, tetapi juga harga itu lebih berpatutan. Kita juga akan bekerjasama dengan syarikat tertentu bagi memudahkan orang datang.
"Sebab, kita tahu mungkin ramai yang sibuk nak beli dan sebagainya, kalau guna perkhidmatan penghantaran makanan lebih mudah, lebih besar pasaran dan dengan itu mereka (peniaga) boleh kurangkan harga," katanya.
Rumaizi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Kafe Lalaland di Jalan Lasam, di sini, semalam.
Sementara itu, mengulas berhubung permohonan penambahan tapak Bazar Ramadan tahun ini, beliau berkata, pihaknya sedang meneliti tiga lagi tapak untuk peniaga.
Katanya, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan membuka sebanyak 19 lokasi tapak Bazar Ramadan tahun ini, dengan anggaran sebanyak 1,296 petak.
"Memang sudah ditutup (permohonan tapak Bazar Ramadan) tetapi kita akan kaji permohonan baharu, kalau sesuai kita akan pertimbangkan untuk pemohon.
"Ada tiga tapak dalam kajian. Saya jangka, kalau ada pertambahan, mungkin dalam 150 hingga 200 peniaga lagi," tambahnya.
Kerajaan memperkenalkan Menu Rahmah sebagai usaha membantu golongan miskin tegar yang memerlukan makanan siap dimasak.
Menu yang ditetapkan pada harga RM5 dan ke bawah itu merangkumi nasi, seketul ayam atau seekor ikan dan sayuran.
#Menu Rahmah #Bazar Ramadan #Ipoh #Rumaizi Baharin
;