Peniaga bazar Ramadan dikompaun RM18,100

Nur Fazlizai Ali
April 14, 2022 10:10 MYT
Pemeriksaan dijalankan oleh 278 anggota di 1,733 gerai jualan makanan dan minuman membabitkan 59 lokaliti bazar Ramadan. - Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Sebanyak 153 notis membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 dikeluarkan ke atas peniaga bazar Ramadan di Terengganu.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, kesemua notis yang dikeluarkan sehingga Selasa itu melibatkan nilai kompaun sebanyak RM18,100.
Katanya tindakan berkenaan hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh 278 anggota di 1,733 gerai jualan makanan dan minuman membabitkan 59 lokaliti bazar Ramadan sejak 1 Ramadan lalu.
"Kalau kita melihat notis kesalahan yang kita keluarkan ini sebenarnya pemakaian apron yang menunjukkan paling tinggi dan diikuti dengan premis yang bersih, kebersihan diri dan juga tiada latihan atau suntikan," katanya.
Beliau berkata, menerusi itu sebanyak 72 notis dikeluarkan atas kesalahan tidak memakai apron manakala 23 lagi tidak memenuhi piawaian kebersihan diri.
Manakala sebanyak 14 notis yang dikeluarkan kerana menggaji pekerja yang tidak mempunyai latihan dan tidak mendapat suntikan anti-tifoid serta kesalahan yang lain.
Justeru itu beliau terus mengingatkan para peniaga sentiasa patuh dengan peraturan yang ditetapkan dan sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan.
#kompaun #Bazar Ramadan #kesalahan #peniaga
;