Peniaga bazar Ramadan diingatkan tidak halang laluan bomba

Bernama
Mac 31, 2022 17:47 MYT
Peniaga juga diingatkan untuk tidak membuka gerai di kawasan berdekatan dengan pili bomba bagi memudahkan tugas ketika berlaku kebakaran.- Foto: YouTube S.H. Channel
SEREMBAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan mengingatkan orang ramai terutama peniaga di bazar Ramadan supaya tidak menghalang laluan utama dan jalan raya kerana ia akan mengganggu tempoh masa bertindak bomba ke lokasi sekiranya berlaku kecemasan.
Pengarahnya, Hamdan Ali berkata, mereka juga diingatkan untuk tidak membuka gerai di kawasan berdekatan dengan pili bomba bagi memudahkan dan mempercepatkan tugas anggota bomba ketika berlaku kebakaran.
"Bazar-bazar ini kebanyakannya ada dibuka di tepi jalan dan di situ juga ada pili bomba, pili bomba itu merupakan senjata kita iaitu air, jadi kalau pili bomba tiada atau dihalang, kita sukar nak jalankan kegiatan (pemadaman).
"Kadang-kadang masa respons kita okey, dah dekat tapi ada benda yang menghalang, ini melambatkan kita untuk sampai ke lokasi kejadian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perbarisan Tahunan 2022 JBPM Negeri Sembilan di sini hari ini.
Beliau berkata jumlah panggilan kebakaran diterima JBPM negeri menunjukkan pengurangan ketika fasa awal Perintah Kawalan Pergerakan pada 2020 iaitu sebanyak 1,763 kes berbanding 1,920 pada tahun lepas.
"Setakat semalam pula kita terima 439 panggilan membabitkan kebakaran. Jadi saya nasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada terutama ketika Ramadan kerana orang memasak banyak daripada biasa, kalau kita perhati punca kebakaran kebanyakannya adalah disebabkan keletihan dan kecuaian," katanya.
Sementara itu, Hamdan berkata terdapat 21 balai bomba di negeri ini dengan dua daripadanya baru dibina tahun lepas iaitu di Rembau dan Palong 6 serta satu dinaik taraf di Seremban dan dijangka beroperasi sepenuhnya tahun ini.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dan penilaian risiko terutama di 'hotspot' tanah runtuh seperti penempatan penduduk yang berhampiran tanah cerun atau tebingan sungai bagi memastikan keselamatan penduduk yang berada di lokasi tersebut.
Bagaimanapun, beliau berkata tiada laporan tanah runtuh diterima pihaknya setakat ini.
"Hanya berlaku rekahan dan tanah runtuh kecil sahaja, namun kita sentiasa bersiap siaga lebih-lebih lagi dengan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini memungkinkan sebarang kejadian boleh berlaku," katanya.
-- BERNAMA
#Bazar Ramadan #peniaga #laluan bomba #pili bomba
;