Peniaga bazar Ramadan diarah pakai apron

Sinar Harian
Mac 26, 2023 12:45 MYT
Peniaga yang gagal mematuhi peraturan diberi amaran terlebih dahulu sebelum tindakan kompaun dikenakan kelak. - Gambar hiasan/ Unsplash
PONTIAN: Tidak mengenakan apron ketika mengendalikan makanan antara kesalahan yang dikesan dilakukan peniaga bazar Ramadan di Stadium Mini Pontian.
Pegawai Kesihatan Daerah Pontian, Dr Surinah Asan berkata, kesalahan itu dikesan hasil pemantauan menerusi Op Bazar ke atas 146 peniaga di bazar berkenaan, pada petang Sabtu.
Katanya, melalui hasil pemeriksaan kali pertama, pihaknya hanya memberikan amaran terlebih dahulu kepada peniaga yang gagal mematuhi peraturan sebelum tindakan kompaun dikenakan sewaktu operasi kali kedua diadakan sekiranya masih berdegil.
"Kita dapati perkara paling mudah iaitu pemakaian apron masih dipandang remeh segelintir peniaga. Di bawah Peraturan 32, ia melibatkan kesalahan pakaian oleh pengendali makanan dengan kompaun dikenakan bernilai RM100 setiap satu.
"Selain itu, tahap kebersihan pengendali makanan turut diperiksa, sekiranya gagal memastikan kebersihan, tindakan akan dikenakan," katanya.
Menurut Surinah, pemeriksaan berterusan Op Bazar akan dilakukan anggota Pejabat Kesihatan Daerah Pontian dan Majlis Perbandaran Daerah Pontian (MPPn) di sembilan lokasi bazar di daerah ini.
Katanya, selain di Stadium Mini Pontian, terdapat bazar Ramadan di pekan-pekan seperti Benut, Permas, Ayer Baloi, Api-api dan Serkat.
"Kebersihan pengendali makanan cukup penting untuk dijaga, untuk mengelak pencemaran silang berlaku sekligus berisiko mengundang keracunan makanan.
"Pada tahun lepas, Op Bazar membabitkan pemeriksaan premis dan persampelan makanan di mana terdapat dua peniaga bazar yang dikenakan tindakan didakwa di mahkamah kerana menjual makanan yang tercemar oleh bakteria patogenik di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985," katanya.
Sebelum itu, dalam operasi itu, pihaknya turut mengedarkan bahan pendidikan kesihatan kepada peniaga. - Sinar Harian
#Puasa 2023 #Bazar Ramadan #pakai apron #kesalahan perniaga
;