Peniaga bazar harap dapat kembali berniaga minggu akhir Ramadan

Dewi Nur Harasha Alias
Mei 4, 2021 08:23 MYT
Penutupan membabitkan empat bazar di bahagian Pulau dan dua di Seberang Perai itu dibuat bagi membendung penularan jangkitan susulan peningkatan kes COVID-19. - Astro AWANI
GEORGE TOWN: Peniaga bazar Ramadan Kampung Melayu, di Pulau Pinang yang diarah tutup selama tiga hari berharap dapat kembali berniaga menjelang minggu akhir Ramadan.
Menurut mereka, meskipun sedih kerana terpaksa menanggung kerugian sekali gus hilang punca pendapatan namun mereka akur dengan arahan penutupan tersebut.
Wakil peniaga bazar, Mohamed Farook Ismail berharap, pihak berwajib akan memberi peluang kepada semua peniaga di empat bazar yang terlibat dengan penutupan berniaga kembali bagi menanpung perbelanjaan menjelang Aidilfitri.
"Peniaga di sini rasa kecewa dan terkesan. Kami berharap pihak berwajib benarkan kita membuka bazar pada minggu akhir Ramadan.
"Banyak barang akan rosak jika tidak dibenarkan bazar dibuka, ramai peniaga akan kecewa. Namun kita reda dengan ketentuan sebab siapa pun tidak boleh lawan namun harapan dapatlah bazar dibuka semula," katanya.
Sementara itu, peniaga bazar Ramadan, Zainuddin Zainol Abidin menjelaskan akan menunggu keputusan maklum balas yang boleh meringankan beban mereka.
"Sekurang-kurangnya dapat sambut Hari Raya walaupun sedih dengan COVID-19, rezeki kami merosot akibat pandemik sejak tahun lepas," ujarnya.
Dalam pada itu, bagi membantu peniaga yang terkesan, ada penganjur bertindak mencadangkan kepada peniaga untuk berniaga sementara di tapak pasar sementara menunggu bazar Ramadan dibuka semula.
Menurut penganjur bazar Ramadan MPKK Kampung Melayu, Abdul Aziz Buhari, dengan cara itu sekurang-kurangnya peniaga dapat menjana pendapatan.
"Kita bagi cadangan peniaga boleh membuka perniagaan di tapak pasar pagi, harap dapat menjana sedikit pendapatan.
"Kita bagi peluang berniaga selama tiga hari sebab mereka memiliki lesen bazar," katanya.
Enam bazar Ramadan di Pulau Pinang diarahkan tutup selama tiga hari Ahad lepas.
Penutupan membabitkan empat bazar di bahagian Pulau dan dua di Seberang Perai itu dibuat bagi membendung penularan jangkitan susulan peningkatan kes COVID-19.
Ia membabitkan bazar Ramadan Taman Tun Sardon, pekarangan Masjid Daerah Barat Daya; Astaka Bukit Gedung dan Kampung Melayu di bahagian pulau manakala di Seberang Perai pula membabitkan Jalan Tenggiri dan Taman Bertam Indah.
#ramadan2021 #bazar #Kampung Melayu #peniaga #SOP #COVID-19
;