Peniaga banyak berdalih, cari alasan tidak turunkan harga barang - CAPS

Bernama
Februari 4, 2015 22:32 MYT
Menurut CAPS, boikot perlu dijadikan sebagai satu kempen besar-besaran kerana ia dilihat instrumen berkesan dalam memberi kesedaran dan mendesak peniaga menurunkan harga. - Gambar hiasan
Kebanyakan peniaga di Sabah dilihat terlalu banyak berdalih dan memberikan pelbagai alasan untuk terus mengaut keuntungan dengan tidak menurunkan harga barang, kata Presiden Persatuan Hal Ehwal Pelindung Pengguna Sabah (CAPS) James Bagah.
Beliau berkata walaupun harga minyak sudah turun, situasi sama tetap berlaku apabila masih ada peniaga yang berdegil tidak mahu menurunkan harga barangan jualan mereka.
"Peniaga terlalu banyak kerenah. Bermacam-macam alasan diberikan. Selepas harga minyak, sekarang tarif utiliti seperti bekalan elektrik pula dijadikan alasan untuk tidak menurunkan harga barang.
"Peniaga perlu beretika, ada tanggungjawab sosial dan memastikan mereka tidak membebankan pengguna. Jangan fikir mengaut keuntungan sahaja. Peniaga juga adalah pengguna dan bayangkan beban yang ditanggung jika mereka sebagai pembeli," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau turut menggesa peniaga khususnya di negeri ini supaya bersikap lebih matang dan bertoleransi, selain memberi kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan dalam menetapkan harga barang yang lebih berpatutan untuk pengguna.
Katanya, dalam masa sama, pengguna juga harus memainkan peranan dengan menggunakan kuasa membeli bagi menentukan pilihan harga terbaik yang dilihat lebih murah dan berpatutan.
"Pengguna khususnya di Sabah perlu bijak berhadapan situasi ini. Mereka perlu bersatu hati memboikot mana-mana peniaga yang masih berdegil sebagai satu desakan untuk mereka menurunkan harga barang," katanya.
Mengulas lanjut, Bagah berkata boikot perlu dijadikan sebagai satu kempen besar-besaran kerana ia dilihat instrumen berkesan dalam memberi kesedaran dan mendesak peniaga menyediakan harga berpatutan kepada pengguna.
Selain itu, beliau juga mahu kerajaan lebih serius mengenal pasti dalang yang mengaut keuntungan sehingga menyebabkan masalah kenaikan harga barang menjadi semakin serius.
Ini termasuklah mengadakan perbincangan bersama pihak yang terlibat secara langsung dalam rantaian perniagaan seperti pembekal, pengilang, pemborong, pengedar dan peruncit.
"Ini kerana, kita tidak tahu siapa dalang dalam hal kenaikan harga barang ini. Sama ada pengilang, pembekal, pengedar dan pemborong yang mengambil kesempatan, atau peniaga sendiri yang mahu mencari keuntungan?," soalnya.
#boikot #CAPS #james bagah #pengguna #peniaga #Sabah #turun harga
;