Pengusiran Kang Chol: Kedutaan Korea Utara terus jadi tumpuan

Rahimah Abdullah
Mac 5, 2017 08:32 MYT
Kali terakhir Kang Chol dilihat di kedutaan berkenaan adalah kira-kira jam 10 malam Jumaat. - Gambar Astro AWANI/Rahimah Abdullah
Kedutaan Korea Utara di Bukit Damansara di sini terus menjadi tumpuan media tempatan dan asing bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai pengusiran terhadap Duta negara itu, Kang Chol dari Malaysia.
Bagaimanapun, difahamkan, Kang Chol tiada di dalam kedutaan buat masa ini.
Kebanyakan wartawan yang 'berkampung' di hadapan kedutaan sejak beberapa hari lalu juga memberitahu, kali terakhir duta itu dilihat di kedutaan berkenaan adalah kira-kira jam 10 malam Jumaat.
Dalam pada itu, penantian media sejak pengumuman pengusiran oleh Wisma Putra terhadap Kang Chol semalam menyaksikan hanya kereta konsulat Korea Utara keluar masuk ke kedutaan berkenaan.
Setakat ini, tiada wakil atau jurucakap konsulat atau duta negara itu memberikan reaksi susulan arahan pengusiran itu.
Kementerian Luar Negeri melalui Nota Diplomatik yang dihantar kepada Kedutaan Korea Utara semalam mengisytiharkan Kang Chol sebagai Persona Non Grata dan beliau dikehendaki meninggalkan Malaysia selewat-lewatnya 48 jam bermula 6 petang Sabtu.
Pengusiran Kang Chol dibuat susulan kegagalan berjumpa dengan pihak Kementerian Luar Negeri dan keengganan mengemukakan permohonan maaf secara bertulis berikutan dakwaan negatif yang dibuatnya terhadap Malaysia sebelum ini.
Persona Non Grata diterjemahkan secara kasarnya bermaksud “Orang yang Tidak Dihargai” iaitu seseorang yang telah diisytiharkan sedemikian dilarang masuk atau terus berada disesebuah negara.
Ia merupakan bentuk kecaman yang paling serius yang boleh dikenakan ke atas seseorang diplomat asing dan seringkali digunakan untuk memberi isyarat tidak senang hati terhadap tingkahlaku atau dasar negara penghantar.
Mengikut artikel 9 Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik (1961), negara penerima boleh, pada bila-bila masa dan tanpa memberi sebarang alasan, mengisytiharkan duta besar atau ketua perwakilan atau pegawai diplomatik sebagai Persona Non Grata.
Dalam hal sedemikian, negara penghantar akan memanggil pulang inidividu berkenaan ataupun menamatkan fungsi beliau di kedutaan atau perwakilan.
Jika negara penghantar tidak mahu berbuat demikian, maka negara penerima boleh menamatkan pengiktirafan terhadap individu tersebut sebagai ahli kedutaan atau perwakilan.
#Kang Chol #Korea Utara #Malaysia #usir
;