Pengusaha taska sedia beroperasi dalam skala kecil mulai minggu depan

Bernama
Mei 4, 2020 20:47 MYT
Ibu bapa berpendapat perkhidmatan taska adalah sebagai sokongan sosial dan tidak harus bermotifkan perniagaan dan keuntungan semata-mata. - Gambar hiasan
Pengusaha taman asuhan kanak-kanak atau taska di sekitar ibu negara rata-rata tidak mula beroperasi pada hari ini, sebaliknya giat melakukan proses pembersihan dan sanitasi menyeluruh di premis masing-masing.
Tinjauan Bernama di kawasan Pandan Indah, Setapak, Cheras dan Ampang mendapati kebanyakan pengusaha taska tidak mahu terburu-buru serta memerlukan masa membuat persiapan khusus sesuai dengan garis panduan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Walaupun perkhidmatan taska sudah boleh dibuka semula susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini, beberapa pengusaha berkata mereka hanya bersedia untuk memulakan operasi dalam skala yang kecil minggu depan.
Pemilik Taska Nur Bistari, Siti Salwani Suhaimi berkata pihaknya memberi keutamaan kepada ibu bapa yang terpaksa bekerja dalam tempoh PKPB ini khususnya anak-anak petugas barisan hadapan.
"Ketika ini taska kami sedang membuat pembersihan dan proses nyah kuman termasuk peralatan dan perkakas taska. Selain itu menyusun atur semula kawasan taska dengan memasang tanda atau petak untuk penjarakan sosial anak-anak.
"Untuk mematuhi penjarakan itu, taska hanya menerima tidak lebih daripada 15 orang sehari dan ia bergantung kepada permohonan ibu bapa yang hendak menghantar anak-anak mereka," katanya kepada Bernama.
Siti Salwani berkata dalam keadaan sekarang beliau berpendapat perkhidmatan taska adalah sebagai sokongan sosial dan tidak harus bermotifkan perniagaan dan keuntungan semata-mata.
"Sebab itu saya tidak kisah walaupun anak-anak yang dijaga kurang sedikit berbanding kebiasaannya hampir 40 orang sehari. Saya tidak mahu anak-anak bersesak dan kita faham semua pihak juga bimbang jika berlaku penularan COVID-19 di taska," katanya.
Bagi pemilik Taska Didik Khalifah, Nurul Hannah Wahab, taska itu akan turut menerima anak-anak asuhan dalam jumlah yang kecil sahaja bermula 13 Mei selain memendekkan waktu operasi bermula 7 pagi hingga 6 petang berbanding sehingga 8 malam kebiasaannya.
"Kami beroperasi untuk memudahkan ibu bapa yang memerlukan khidmat penjagaan anak-anak kerana tuntutan kerja sahaja. Ibu bapa yang boleh bergilir cuti atau bekerja dari rumah kita tidak galakkan untuk hantar anak," katanya.
"Bancian awal juga dilakukan bagi mengetahui jumlah anak-anak yang akan hadir bagi memudahkan pengurusan taska untuk penjarakan sosial. Jika ada anak-anak petugas barisan hadapan kami akan catat rekod mereka serta asingkan mereka untuk melakukan aktiviti yang telah dirancang di tingkat atas," tambahnya.
Menurut MKN, aktiviti dan protokol taska merangkumi tindakan sebelum, semasa dan selepas operasi, iaitu sebelum membuka operasi, pengusaha, guru dan kakitangan taska perlu disahkan bebas COVID -19, manakala premis mesti dibersihkan dan dinyah kuman.
Selain itu, guru dan kakitangan perlu diberi latihan langkah-langkah kebersihan, keselamatan serta pelaksanaan aktiviti berkaitan.
-- BERNAMA
#guru #Kanak-kanak #keselamatan #Majlis Keselamatan Negara #MKN #operasi #taska
;