Pengusaha rumah rakit guna media sosial bangkit kembali selepas terjejas COVID-19

Nur Fazlizai Ali
Januari 9, 2022 08:15 MYT
Pengalaman pengunjung Rumah Rakit Surya yang dikongsikan menerusi pelbagai platform media sosial turut memberi nilai tambah dalam mempromosi lokasi alam semulajadi dengan pemandangan indah itu. - Astro AWANI
TASIK KENYIR: Pelbagai cabaran terpaksa ditempuh bagi mereka yang bergelar usahawan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk kembali bangkit selepas kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri Oktober tahun lalu.
Bagi pengusaha rumah rakit di kawasan kaki Gunung Bongsu, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, Ariadi Abdul Malik, ia bukan masa untuk menoleh ke belakang, sebaliknya cabaran perlu diharungi sebaik mungkin.
Menurut Ariadi, media sosial menjadi landasan untuk memulihkan usaha yang dijalankan bersama isterinya, Nik Zurina Mustafa dalam tempoh singkat.
Pengalaman pengunjung Rumah Rakit Surya yang dikongsikan menerusi pelbagai platform media sosial turut memberi nilai tambah dalam mempromosi lokasi alam semulajadi dengan pemandangan indah itu.
"Pesaing itu tidak ada masalah sebab orang sudah kenal dengan kami.
"Apa yang kami harus lakukan adalah membuat promosi di media sosial bagi menarik lagi banyak pelancong ke sini," katanya.
Bagi Nik Zurina, khidmat percuma membawa pengunjung pemancing dan peminat fotografi yang menginap di Rumah Rakit Surya untuk meneroka Tasik Kenyir serta merakamkan foto dan video juga membawa manfaat kepada perniagaanya.
"Kebanyakan yang datang di sini merupakan pelanggan berulang. Minat utama mereka adalah memancing dan mereka akan datang sepanjang tahun.
"Mereka tahun ikan apa ada pada musim bila. Memang tujuan utama mereka ke sini adalah untuk memancing," katanya.
Menurutnya, sebelum penularan pandemik COVID-19, rumah rakit yang beroperasi sejak 15 tahun lalu itu turut dikunjungi pelancong dari luar negara hasil perkongsian pengalaman kaki pancing di media sosial.
#rumah rakit #COVID-19 #PKP #perniagaan
;