Pengusaha restoran nasi kandar mati ditembak di George Town
Astro Awani
Februari 11, 2016 09:11 MYT
Februari 11, 2016 09:11 MYT
Seorang pengusaha restoran nasi kandar dan pusat mencuci kenderaan ditembak mati di Jalan Dato Keramat, di sini awal pagi Khamis.
Mangsa, Syed Amen Jainul Abidin, 46 tahun, ditembak dari jarak dekat ketika berada di dalam kereta Mercedes Benz miliknya yang berhenti di depan sebuah pusat pameran motosikal berkuasa tinggi Ducati, kira-kira jam 3.30 pagi.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata, siasatan awal mendapati mangsa maut di tempat kejadian akibat lima das tembakan pada badan dan kepala.
"Mangsa diekori sebuah motosikal yang dinaiki dua orang dipercayai penjenayah. Salah seorang daripadanya turun dan melepaskan enam das tembakan, lima mengenai badan dan kepala mangsa manakala satu das tersasar.
"Pada masa sama, satu das tembakan turut dilepaskan ke arah dua orang anggota RELA yang sedang berkawal di premis tersebut namun tidak mengenai mereka," jelasnya.
Mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif pembunuhan juga sedang dikenal pasti.
Ahli perniagaan itu didakwa menerima beberapa ancaman bunuh beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada 13 November 2014, salah satu kereta beliau telah dibakar di pusat mencuci kereta selepas tengah malam dan pada 2012, sepucuk pistol ditinggalkan dalam kenderaannya.
Sementara itu, semakan terhadap latar belakang mangsa mendapati dia sedang menanti perbicaraan berhubung kes mengaibkan seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada November tahun lepas.
31 Disember lalu, Syed Amen didakwa di Mahkamah Majistret Georgetown atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata kesat kepada pegawai terbabit di pejabat JPJ cawangan Batu Uban, Bayan Lepas.
Pendakwaan itu susulan video berdurasi empat minit yang viral di media sosial, menunjukkan Syed Amen berang berikutan berdepan kesulitan ketika proses memperbaharui cukai jalan kenderaannya.
Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Syed Amen bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan majistret L.Umma Devi.