Pengusaha restoran luah rasa berat hati jika terpaksa hentikan pekerja

Faris Danial Razi
April 17, 2020 20:50 MYT
Wan Anwari cuba sedaya upaya menjaga kebajikan pekerjanya sepanjang PKP ini. - Astro AWANI
“Perkara ini mungkin sensitif, tetapi terpaksa saya cakap, mungkin mereka ini diberhentikan.”
Demikian luahan seorang pengurus restoran di Bandar Baru Bangi, Wan Anwari Wan Amran yang menyatakan tentang kemungkinan yang terpaksa diambil olehnya jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berterusan untuk tempoh yang lebih lama.
“Segala perancangan bagi peniaga seperti kami, kami akan melihat pada berapa lama tempoh PKP. Untuk tempoh enam bulan pertama ini, saya membuat keputusan dengan merehatkan pekerja tanpa gaji.
“Saya tidak buang lagi mereka, maksudnya kita merehatkan dulu dan dalam masa kita membantu juga dengan memberikan barang keperluan harian di rumah seperti beras, gula dan telur untuk menampung kehidupan mereka dalam masa enam bulan.
Beliau bagaimanapun, buat masa ini untuk menjaga kebajikan pekerjanya dengan memberikan duit poket sebagai meringankan beban untuk membeli makanan harian.
“Saya tahu kebanyakan yang bekerja ini semestinya dari golongan B40. Jadi, untuk tempoh enam bulan pertama ini, itu sahaja yang dapat saya bantu sebagai seorang pengusaha restoran iaitu dengan membantu pekerja yang direhatkan tersebut.
“Ini kerana, kita sendiri tahu komitmen kami seperti bayaran sewa kedai. Tambahan pula kami tidak menerima kunjungan pelanggan seperti sebelum ini, jadi hasil jualan itu tidak seperti dulu yang mampu menampung kos overhead setiap bulan,” tambahnya lagi.
Wan Anwari berkata demikian sewaktu ditemu bual eksklusif dalam program Cerita Sebalik Berita di Astro AWANI pada Jumaat.
Jelasnya, itulah norma baharu yang mungkin dihadapi oleh para peniaga lain yang mungkin memiliki nasib yang sama yang mana perlu mempertimbangkan nasib diri dan juga kebajikan pekerja.
Paling utama, menurut Wan Anwari, rakyat Malaysia memainkan peranan penting untuk memastikan COVID-19 dapat berakhir dengan segera, dan bersedia untuk mengembalikan ekonomi negara seperti sediakala yang mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya 12 bulan.
BACA: Grab sambut baik usaha bantu usahawan mikro menjelang Ramadan
#COVID-19 #koronavirus #pengusaha restoran #peniaga #perintah kawalan pergerakan #PKP #Ramadan #usahawan
;