Pengusaha pengangkutan awam akan dibantu - Hishammuddin
Bernama
September 8, 2013 07:00 MYT
September 8, 2013 07:00 MYT
Kerajaan akan membantu pengusaha pengangkutan awam terutama bas menangani kenaikan kos operasi susulan pengurangan subsidi petrol dan diesel.
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perkara itu dilakukan menerusi pertemuan yang diadakan antara kementeriannya dan pengendali syarikat bas di negara ini.
Sebagai sebuah kerajaan, kita harus mendengar rintihan semua pihak agar masalah yang timbul dapat ditangani sebaik mungkin, katanya kepada pemberita selepas sambutan Merdeka Raya Parlimen Sembrong.
Sehubungan itu Hishammuddin yang juga Anggota Parlimen Sembrong turut meminta pengusaha pengangkutan awam agar tidak bertindak secara terburu-buru dengan menaikkan kadar tambang.
Sementara itu, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata kerajaan belum membuat keputusan untuk menggantikan pesawat pejuang MiG-29N dengan pesawat baharu.
"Apa jua yang hendak dilakukan dari segi perkakas dan jumlah anggota tentera mesti melihat kepada ancaman dan kedaulatan kita. Kena buat peringkat demi peringkat.
"Kemungkinan ada yang hanya perlu ditambah baik seperti Agusta yang boleh dilengkapkan dengan senjata. Kita kena terima input orang yang menggunakannya dan lihat kemampuan kewangan negara kerana harga perkakas dan pesawat bukannya murah," katanya.