Pengusaha pelancongan enggan putus asa, sedia bangkit semula
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Oktober 15, 2021 09:36 MYT
Oktober 15, 2021 09:36 MYT
KOTA KINABALU: Lebih separuh aset perniagaan terpaksa dijual untuk membayar komitmen bulanan, ramai pekerja terpaksa berhenti malah ada yang meneruskan hidup dengan berkebun dan menjual sayur-sayuran.
Itu dilalui sebuah syarikat pelancongan di Kota Kinabalu, Sabah sejak pandemik COVID-19 bermula dan pengumuman kebenaran rentas negeri baru-baru ini sedikit sebanyak memberi peluang untuk mereka bangkit semula.
Menurut Pengurus Operasi Riverbug Asia, Norita Yapi, 42, sebelum pandemik COVID-19 bermula hampir semua pemain industri pelancongan di negeri itu berada dalam keadaan selesa.
Namun tiada siapa menyangka, dalam sekelip mata industri itu lumpuh, hingga memaksa beliau dan rakan-rakan mencari sumber pendapatan lain, jauh dari bidang pelancongan demi kelangsungan hidup.
"Memang selama ini kami dalam zon selesa, hari-hari ada pelanggan. Namun bila pandemik bermula, saya nampak syarikat dan pekerja turut terkesan.
"Beberapa pekerja kami terbang ke Kuala Lumpur untuk cari kerja di sana. Yang ada di sini, cuba meneruskan kehidupan dengan kerja yang jauh berbeza... ada yang menoreh getah dan terbabit dalam pertanian lain.
"Saya sendiri sebagai operation manager saya buat keputusan untuk mulakan perniagaan lain. Maksud saya lebih kepada bisnes kecil-kecilan, saya start jual produk kawan-kawan sebab saya tiada kepakaran untuk mengeluarkan produk sendiri.
"Jadi saya ambil keputusan untuk sertai apa-apa platform business online... jadi dropship then jual produk orang kampung jual produk kawan-kawan," katanya.
Beliau ditemui dalam tinjauan persediaan operasi agensi pelancongan di Kota Kinabalu pada Khamis.
Tambahnya, bagi meraih lebih pendapatan, beliau dan rakan-rakan berkongsi idea dan memanfaatkan sebahagian ruang bangunan syarikat sebagai kedai serbaneka dan kafe.
Menurutnya lagi syarikat tersebut sebelum ini memiliki 12 van persiaran dan sebuah lori tiga tan namun demi kelangsungan syarikat dan membantu pekerja-pekerja yang terkesan, tujuh buah van dan lori terbabit terpaksa dijual.
Program Subsidi Upah (PSU) juga membantu meringankan beban syarikat, katanya.
"Terima kasih kepada kerajaan juga kerana bagi kita PSU... itu saja cara kami survive... tidak cukup sebenarnya, tapi at least kami dapat bayar sikit-sikit dan kurangkan komitmen bulanan.
Mengenai persediaan menerima semula kemasukan pelancong susulan kebenaran rentas negeri, Norita berkata, Riverbug Asia tidak berputus asa dan yakin untuk kembali memberi khidmat terbaik kepada pelanggan.
Katanya, mereka bersedia untuk memberikan perkhidmatan kepada penggemar sukan lasak 'water rafting' menjelang November ini biarpun terpaksa bermula dengan langkah yang sedikit lemah ekoran kekurangan aset dan tenaga kerja.