Pengusaha pelancongan di pulau Terengganu lanjut operasi
Nur Fazlizai Ali
Disember 11, 2021 07:01 MYT
Disember 11, 2021 07:01 MYT
MARANG: Sebahagian besar pengusaha pelancongan di pulau peranginan di Terengganu melanjutkan operasi mereka ketika musim tengkujuh kali ini.
Mereka tiada pilihan, kerana masih dalam proses mengukuhkan kembali pendapatan akibat lama tidak beroperasi susulan siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sebelum ini.
Beberapa pengusaha pelancongan yang ditemui memberitahu baharu sahaja mula beroperasi Ogos lalu.
Jelas mereka, ketika ini mereka, hanya menerima pelanggan secara 'walk in' sebelum menghentikan pengoperasian pertengahan Disember ini.
"Biasanya macam tahun-tahun sebelum ini kita buka sampai bulan 10 sahaja, bulan 11 sudah tutup.
"Tetapi disebabkan PKP, ramai pelanggan dari luar Terengganu datang sebab baru dibenarkan rentas negeri, jadi kita masih dibuka sehingga pertengahan bulan 11.
"Kami pun sentiasa merujuk kepada Jabatan Meteorologi untuk melihat keadaan cuaca," kata pengusaha pelancongan, Wan Harith Irfan Wan Hasanin.
Bagi Nor Hayati Mazlan pula, setiap pelancong yang tiba di pulau itu akan diberi maklumat tentang keadaan ombak selain tindakan keselamatan yang perlu dilakukan bagi mengelak keadaan tidak diingini berlaku.
"Kami di sini terpaksa tutup lama jadi inilah peluang kami bagi menjana pendapatan semula.
"Namun kami tetap menitik berat aspek keselamatan dan setiap pelancong akan diberitahu tentang keadaan ombak dan tindakan keselamatan yang harus dipatuhi," katanya.
Lazimnya tempoh monsun ini digunakan para pengusaha untuk membaik pulih resort mereka.
Kerajaan negeri tidak mengeluarkan arahan penutupan pulau peranginan di negeri ini sepanjang musim tengkujuh tahun ini.
Menurut Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman, ia mengambil kira tempoh operasi penggiat sektor pelancongan yang baharu 'bernafas' setelah sekian lama terbelenggu akibat pandemik COVID-19.
Bagaimanapun pengusaha pelancongan diingatkan untuk sentiasa berwaspada serta mengutamakan aspek keselamatan susulan perubahan keadaan cuaca yang tidak menentu sepanjang musim tengkujuh.