Pengusaha Musang King mohon bina kilang nitrogen

Sinar Harian
Mac 22, 2022 07:10 MYT
Abd Rahim (tiga dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Tuan Mohd Saripudin (tiga dari kanan) ketika kunjungan hormat ke Pejabat Exco Pertanian pada Selasa. - Foto Sinar Harian
KOTA BHARU: Lebih 500 pengusaha kebun durian Musang King di negeri ini memohon bantuan kerajaan untuk membina sebuah kilang nitrogen dalam usaha mengatasi masalah kerosakan atau lambakan raja buah itu.
Pengerusi Persatuan Usahawan Durian negeri Kelantan (PUDNK), Abd Rahim Muhammad berkata, kos pembinaan kilang sejuk beku tersebut dianggarkan RM2 juta dan dicadangkan dibina di Tanah Merah.
Katanya, pembinaan kilang itu dijangka dapat memanfaatkan hampir 10,000 pekebun durian di negeri ini.
“Ketika ini, pekebun terpaksa menyimpan durian itu di rumah sejuk beku di Raub kerana tiada tempat pengumpulan hasil di sini.
“Sasaran kita mahu Kelantan menjadi hab pengeksport Musang King dan kilang nitrogen akan berfungsi sebagai tempat penyimpanan buah itu supaya kekal segar sebelum dieksport ke luar negara,” katanya selepas Kunjungan Hormat PUDNK ke Pejabat Exco Pertanian negeri Kelantan.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismai.
Beliau memberitahu, pembinaan kilang tersebut disasarkan selewat-lewatnya pada tahun 2023 bagi menampung pengeluaran lebih empat tan Musang King dengan keluasan lebih 100 hektar membabitkan 500 pekebun juga ahli PUNDK di Jeli, Tanah Merah dan Kuala Krai.
“Musang King merupakan jenama durian yang diiktiraf dunia kerana kualiti terbaik dan menjadi kebanggaan Malaysia.
“Bagi tahun 2025 dijangkakan pengeluaran hasil yang berganda dan pengusaha memerlukan satu tempat penyimpan seperti kilang nitrogen,” katanya.
*Berita asal di Sinar Harian
#sejuk beku #kebun durian #Musang King #kilang nitrogen
;