Pengusaha Mi Kolok Haji Salleh bangga Muhyiddin singgah bersarapan

Munirah Mudzamli
April 2, 2021 10:46 MYT
Katanya, jika sebelum ini hanya disebut-sebut dalam ucapan, hari ini Perdana Menteri boleh merasai sendiri kenikmatan itu. - Foto Astro AWANI.
KUCHING: Ia bagai mimpi bagi Salleh Reduan, pemilik Mi Kolok Haji Salleh hari ini.
Tarikh 2 April 2021 bersamaan dengan hari Jumaat akan terus diingati oleh Salleh, anak-anak serta pekerja Kafe Sepinang Sari.
Ini kerana pemimpin nombor satu negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman meluangkan masa bersarapan pagi di kafe mereka.
"Masha Allah, saya apabila diberitahu oleh anak-anak yang Perdana Menteri mahu bersarapan di kedai saya hari ini, perasaan bercampur baur... gementar ada, bangga pun ada.
"Siapa yang tidak bangga apabila pemimpin negara datang ke kedai kita dan bersarapan pagi," kata Salleh ketika ditemui Astro AWANI pagi Jumaat.
Turut menemani Muhyiddin dan Noorainee ialah Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan beberapa pemimpin tempatan lain.
Sebelum ini, nama Mi Kolok Haji Salleh tular di media sosial selepas kafe itu dijadikan contoh dalam ucapan Perdana Menteri ketika melancarkan bantuan prihatin.
Mengulas mengenai persiapan menerima kehadiran pemimpin negara itu, Salleh berkata, dia sangat teruja untuk menyajikan makanan tradisi Sarawak.
Katanya, jika sebelum ini hanya disebut-sebut dalam ucapan, hari ini Perdana Menteri boleh merasai sendiri kenikmatan itu.
"Perdana Menteri dan isteri menikmati mi kolok daging dan beliau menyatakan sedap hidangan itu. Alhamdulillah, perasaan teruja seperti mendaki Gunung Santubong," katanya.
Selain itu, Salleh menyifatkan kunjungan Perdana Menteri itu adalah satu dorongan kepada para peniaga meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh pandemik COVID-19.
#Muhyiddin Yassin #Mi Kolok Haji Salleh #Salleh Reduan #sarapan pagi #Abang Johari Tun Openg #Perdana Menteri #COVID-19
;