Pengusaha makanan dari rumah disaran jaga kebersihan, elak keracunan
Farhan Hakimi
Jun 7, 2024 13:00 MYT
Jun 7, 2024 13:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pengusaha makanan yang beroperasi dari rumah diingatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan dan kualiti makanan yang disediakan bagi tujuan jualan.
Menurut Pengarah - Bahagian Dasar, Perancangan Strategik & Standard Codex, Program Keselamatan Dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Ts. Zailina Binti Abdul Majid, antara langkah yang boleh diambil adalah dengan mendaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk disenaraikan di bawah penyenaraian pengusaha makanan sediaan di rumah (home-based food).
Katanya, langkah itu bagi menggalakkan pengusaha 'home-based food' mengamalkan amalan kebersihan dan penyediaan makanan yang selamat selain mematuhi keperluan perundangan semasa.
"Antara aspek utama yang kita tekankan adalah dari segi penyimpanan bahan mentah, pemilihan bahan mentah yang baik dan aspek pengasingan dari segi penyediaan bahan yang mentah untuk dimasak.
"Kita juga mengambil maklum sesetengah pengusaha makanan dari rumah ini kadangkala memasarkan makanan mereka di gerai-gerai atau restoran.
"Justeru itu, aspek pelabelan maklumat selaras sepertimana yang dinyatakan di bawah peraturan Akta Makanan 1983 akan turut diambil kira," ujarnya dalam program AWANI Pagi pada Jumaat sempena Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2024 yang diadakan pada setiap 7 jun.
Jelasnya lagi, penyertaan dalam program tersebut juga dapat memastikan KKM menentukan tahap kebersihan dan keselamatan makanan selaras dengan peruntukan Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
Menerusi program itu juga, pengusaha dapat meningkatkan hasil jualan melalui penggunaan logo pada label produk yang dihasilkan, sekaligus meningkatkkan keyakinan pengguna.
Permohonan penyenaraian boleh dibuat dengan mengemukakan borang permohonan dan dokumen permohonan sokongan seperti slip pendaftaran premis (FOSIM), pelalian vaksin anti-tifoid, sijil latihan pengendali makanan dari sekolah latihan pengendali makanan (SLPM) yang diiktiraf, label makanan serta dokumen sokongan yang lain seperti yang dinyatakan dalam garis panduan.