Pengusaha kelapa sawit wajib dapatkan sijil MSPO - Teresa

Ruzaini Zulkepli
September 20, 2018 18:47 MYT
Teresa membuat sidang media selepas membuat kunjungan terhadap Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, hari ini. - Astro AWANI
Pengusaha tanaman kelapa sawit di negara ini diwajibkan untuk mendapat pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sehingga 31 Disember tahun hadapan, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok.
Katanya, pelaksanaan MSPO ini adalah bagi memudahkan pengurusan penanaman kelapa sawit melalui amalan pertanian yang terbaik dan sekali gus menjadikan minyak sawit Malaysia sebagai pilihan utama di peringkat antarabangsa.
Jelas beliau, di peringkat Negeri Sabah, satu unit khas akan ditubuhkan antara kementerian beliau dan Kerajaan Negeri untuk bekerjasama bagi mempercepatkan pensijilan MSPO di kalangan pengusaha kelapa sawit di Sabah.
“Dalam perbincangan bersama Ketua Menteri Sabah sebentar tadi, beliau juga bersetuju bahawa kerajaan negeri akan bekerjasama dengan kementerian saya untuk menjalankan MSPO kepada semua pengusaha kelapa sawit di Sabah.
“Satu unit khas akan ditubuhkan antara kementerian saya dan kerajaan negeri untuk mempercepatkan pensijilan MSPO di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas membuat kunjungan terhadap Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, hari ini.
Sementara itu, Mohd Shafie juga menyambut baik usaha itu kerana ia akan memberikan kesan positif bukan sahaja kepada pengusaha kelapa sawit dari segi keuntungan malah ia juga merupakan salah satu platform yang mampu memelihara hidupan liar di Sabah.
Katanya, melalui MSPO penanam kelapa sawit akan lebih mesra alam dan risiko kemusnahan hutan akan dapat dikurangkan.
Dalam pada itu, beliau juga berharap agar harga kelapa sawit di antara Sabah dan juga Semenanjung Malaysia akan dapat diseratakan agar pengusaha kelapa sawit di negeri ini mampu mendapatkan pulangan yang setimpal.
“Dari segi harga kelapa sawit juga kita telah bincangkan bagaimana supaya harga ini kalau diseratakan supaya menyenangkan para penanam penanam yang ada di peringkat negeri supaya setimpal dengan usaha untuk mendapat imbuhan ataupun pulangan daripada usaha mereka supaya dapat mereka tingkatkan lagi keupayaan dalam mengeluarkan kelapa sawit minyak di negara kita ini,” katanya.
#kerajaan negeri #MSPO #pengusaha kelapa sawit #Sabah #tanaman kelapa sawit #Teresa Kok
;