Pengusaha kantin rugi RM131,000 terpedaya penipuan telefon

Bernama
Ogos 16, 2024 15:10 MYT
Suspek memaklumkna akaun banknya telah disalah guna dan meminta mangsa untuk berhubung dengan pihak polis. - Gambar hiasan
KUALA TERENGGANU: Seorang pengusaha kantin sekolah berputih mata selepas kehilangan RM131,000 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan telefon.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada mulanya mangsa yang berusia 48 tahun menerima panggilan daripada pihak yang mengaku kononnya sebagai pegawai Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) di sebuah bank pada 31 Julai lepas.
Katanya suspek memaklumkna akaun banknya telah disalah guna dan meminta mangsa untuk berhubung dengan pihak polis.
"Panggilan pengadu (mangsa) kemudiannya telah disambungkan dengan pihak yang mengaku sebagai polis dan memberitahu pengadu terlibat dalam jenayah penggubahan wang haram.
"Pengadu kemudiannya menerima mesej melalui WhatssApp dan panggilan telefon daripada pihak yang mengaku sebagai pegawai penyiasat, meminta pengadu memindahkan wang ke dalam akaun juruaudit Bank Negara untuk tujuan siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terpedaya dengan muslihat tersebut, mangsa melakukan enam kali transaksi pemindahan wang ke tiga akaun berbeza secara berperingkat dengan jumlah keseluruhan RM131,000.
Katanya mangsa pada waktu itu berasa yakin dengan sindiket tersebut kerana ditakutkan dengan dokumen waran tangkap yang dihantar kepadanya dan dia diberitahu bahawa semua asetnya akan dibekukan sekiranya tidak memberi kerjasama.
Bagaimanapun, Azli berkata mangsa menyedari dirinya ditipu selepas tidak menerima wang yang dijanjikan akan dipulangkan dalam masa tiga hari, sebelum membuat laporan polis pada petang semalam.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
-- BERNAMA
#lubuk scam #Penipuan Telefon #identiti mangsa #kes polis