Pengusaha kantin perlu anggap murid sekolah seperti anak sendiri - Subramaniam

Israr Khalid
Oktober 18, 2016 20:29 MYT
Datuk Seri Dr S. Subramaniam (tengah) menyerahkan Garis Panduan Kebersihan dan Keselamatan Kantin kepada Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk P. Kamalanathan. - Foto BERNAMA
Pengusaha kantin dan dewan makan sekolah digesa agar bersifat lebih bertanggungjawab dan prihatin dalam menyediakan makanan untuk murid-murid yang makan di premis mereka.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, ada tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan pengusaha yang berjaya memperoleh tender dan tidak hanya bermatlamat untuk 'mencari makan' (meraih keuntungan) semata-mata.
Tegasnya, mereka perlu menggalas keyakinan yang diletakkan oleh ibu bapa yang mengharapkan anak mereka diberi makanan yang bersih, selamat dan sihat.
"Mereka perlu melihat murid-murid sekolah ini sepertimana anak-anak mereka sendiri.
"Kalau anak sendiri, kita akan mengambil segala langkah untuk memastikan makanan yang diperoleh itu selamat," katanya dalam majlis Anugerah Kantin Bersih, Selamat dan Sihat Peringkat Kebangsaan 2016 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini.
Selain menyediakan makanan yang bersih dan selamat, aspek kesihatan juga perlu diambil kira dalam memastikan hidangan mengandungi nutrisi yang mencukupi serta tidak menyumbang kepada penyakit seperti obesiti dan seumpamanya.
Setakat 37 minggu bagi tahun 2016, 153 episod keracunan makanan telah dilaporkan di sekolah-sekolah seluruh negara, melibatkan lebih 6,000 orang murid.
Ia turut menyaksikan 64 arahan penutupan sementara dengan 332 notis dikeluarkan kepada premis yang melanggar garis panduan penyediaan makanan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.
Jelas Dr Subramaniam, jika setiap pengusaha memahami harapan ibu bapa serta tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan kepada mereka, tidak mustahil kes keracunan makanan di sekolah dapat dikurangkan malah tidak lagi berlaku.
Pelbagai usaha telah diwujudkan oleh kementerian dan pihak berkaitan, dari kempen-kempen kesedaran sehinggalah undang-undang bagi menggalakkan pengendalian makanan mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Beliau berharap dengan majlis anugerah seumpama yang dihadirinya itu, ia dapat memberi galakan kepada pengusaha dan pentadbiran sekolah untuk berganding bahu dalam mewujudkan persekitaran pemakanan yang bersih, selamat dan sihat untuk murid-murid sekolah.
"Saya kadang-kadang mimpi ada satu tahun saya dapat umumkan tiada kes keracunan berlaku.
"Mungkin ketika waktu saya atau waktu akan datang, saya berharap masanya akan tiba," ujarnya.
Dalam majlis tersebut, Sekolah Kebangsaan Setiawangsa, Kuala Lumpur dinobat sebagai juara keseluruhan kantin sekolah rendah terbaik dengan membawa pulang hadiah wang bernilai RM1,500.
#dewan makan #Dr Subramaniam #murid #pengusaha kantin #sekolah
;