Pengusaha kantin dilepas tuduhan mudaratkan kesihatan pelajar

Abd Razak Mohd Ali
Mac 11, 2021 06:53 MYT
Azman (kanan) dilepaskan dan dibebaskan tanpa perlu membela diri selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya. - Astro AWANI
KAMPAR: Seorang pengusaha kantin dilepaskan dan dibebaskan tanpa perlu membela diri oleh Mahkamah Majistret Kampar, Perak pada Khamis atas tuduhan menyediakan makanan yang memudaratkan kesihatan, tiga tahun lalu.
Majistret Nur Faizah Mohamad Saleh membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Azman Rizal Azizi, 52 tahun.
Mengikut kertas pertuduhan, Azman yang merupakan pemilik Syarikat Alamasaq Services Sdn Bhd didakwa menyediakan makanan memudaratkan kesihatan enam pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kampar di kantin sekolah berkenaan pada jam 4 petang, 10 Oktober 2018.
Dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 13(1) Akta Makanan 1983 yang memperuntukkan hukuman di bawah Subseksyen 13(1) akta yang sama.
Sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak lebih RM 100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Sebanyak enam saksi dipanggil pihak pendakwa raya bagi tujuan pembentangan kes.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Nurulhisham Shamsudin manakala tertuduh diwakili peguam, Esmael Shah Shahrudin.
#pengusaha kantin #Mahkamah Majistret #Kampar #kesihatan #penyediaan makanan #keracunan makanan #pelajar sekolah #akta makanan