Pengusaha ikan sangkar kerugian akibat sungai cetek
Azizah Shafiei
Januari 21, 2022 19:06 MYT
Januari 21, 2022 19:06 MYT
TEMERLOH: Penduduk sekitar Kampung Pangsenam yang mengusahakan lebih 500 sangkar ikan di sini buntu apabila terpaksa menanggung kerugian besar akibat air Sungai Pahang yang semakin cetek.
Situasi ini bukan sahaja menyebabkan mereka tidak dapat menternak ikan sepenuhnya malah kira-kira separuh daripada jumlah sangkar itu ada rosak dan tersadai di tebing sungai.
Seorang pengusaha, Abd Ghani Abd Malek, 57, berkata fenomena ni berlaku sejak dua tahun kebelakangan ini apabila kawasan tebing dipenuhi selut dan lumpur, sekali gus menjadi antara punca Sungai Pahang di sini semakin cetek.
"Kami sudah bersedia dengan kerugian pada musim banjir sebab sudah bertahun-tahun menghadapi situasi itu. Malah kami sudah tahu kaedah untuk mengurangkan kerugian atau kerosakan pada sangkar.
"Tapi akibat aktiviti yang tidak bersesuaian di sini sehingga menyebabkan air sungai semakin cetek, itu menyebabkan kami hilang sabar. Sebab ramai antara kami terpaksa gulung tikar," katanya.
Pengusaha mendakwa kewujudan pam pasir di kawasan berdekatan antara punca penyusutan air sungai itu, dan keadaan akan bertambah teruk sekiranya tiada tindakan wajar diambil pihak berkenaan.
Abd Ghani berkata, akibat aktiviti pam pasir itu sejak 4 tahun lalu, keadaan ekosistem di sungai ini terganggu, selain kedalaman air sungai yang sentiasa berubah-ubah.
"Bila sungai cetek, kami terpaksa cari kawasan sungai yang dalam. Tapi masalahnya, kawasan yang dalam pun sangkar hanya dapat tenggelam separuh sahaja. Jadi, itu memang akan menjejaskan ikan," katanya.
Sementara itu, Ahmad Ridzwan Zainudin, 40, memberitahu, kesemua 10 sangkar ikan yang dia usahakan kini tersadai di tebing sungai.
Katanya bencana banjir penghujung tahun lepas juga menyumbang kepada situasi yang dialami sekarang.
"Bila pam pasir sedut pasir, secara automatiknya air sungai akan jadi cetek, tebing akan runtuh menyebabkan kawasan itu jadi daratan yang dipenuhi lumpur dan selut.
"Sekarang ni, semua sangkar saya berada di daratan. Tak boleh nak tolak ke mana dah sangkar ni sebab kawasan situ semua dah jadi cetek," katanya.
Menurut Ahmad Ridzwan, dia terpaksa membeli ikan daripada penternak ikan sangkar dari kawasan lain bagi memastikan gerai jualan ikan masih beroperasi sehingga kini meskipun keuntungan tidak seberapa.
Manakala, Azhar Abd Malek, 48, berkata, mereka telah mengadu masalah kepada pihak berwajib.
Katanya, bagi memastikan 90 sangkar yang diusahakan dalam keadaan baik adalah mustahil pada waktu ini selagi wujudnya aktiviti pam pasir di kawasan berdekatan.
"Saya cuba ikhtiar apa yang boleh. Nak marah lebih-lebih pun tak boleh.
"Tapi saya minta sangat-sangat pihak berwajib pandang juga masalah kami ini. Kami buat semua ni untuk cari rezeki, sebahagiannya dah lebih dari 10 tahun usahanya. Bila masalah ini timbul, ia merungsingkan kami. Sebab yang tanggung kerugian adalah kami sendiri bukan orang lain," katanya.
Azhar berkata, menjelang musim panas pada Mac nanti, keadaan akan bertambah kronik dengan penyusutan air Sungai Pahang di kawasan itu.