Pengusaha hotel pelbagaikan promosi tarik pengunjung ke Langkawi

Abdul Hadi Che Awang
Jun 16, 2020 09:44 MYT
Kerajaan Kedah bersedia untuk menerima kehadiran pelancong dari luar negeri itu susulan keputusan kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri dan aktiviti pelancongan dalam negara.
Susulan pelbagai kelonggaran diberikan kerajaan melalui Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pemain industri pelancongan tidak mahu terlepas untuk kembali beroperasi selepas 'berehat' selama lebih tiga bulan.
Tidak terkecuali, pengusaha-pengusaha hotel dan pusat penginapan di sekitar Pantau Cenang dan Pantai Tengah, Langkawi, yang kini giat menjalankan pelbagai promosi untuk menarik lebih ramai pelancong.
Penolong Pengurus Hotel Arch Studio, Syed Samir Syed Omar, berkata selain promosi pengurangan separuh harga, reka bentuk hotel bercirikan 'tradisional-hipster' menjadi tarikan utama kepada pelancong.
"Kita tahu kelebihan kita dan sebaik Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, membuat pengumuman mengenai PKPP, kita segera membuat iklan dan promosi secara intensif secara dalam talian.
"Kita dapat banyak pertanyaan dan seterusya tempahan bermula bulan Jun sehingga hujung tahun," katanya kepada Astro AWANI.
Sementara itu, Pengurus Bamboo Gethaway, Nor Amin Imran Bakri, berkata selain promosi biasa, mereka juga mahu memberi penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang berjuang melawan COVID-19.
Katanya, mereka menyediakan pakej penginapan istimewa untuk petugas terbabit yang berkunjung ke Langkawi.
Jelasnya, inisiatif ini bagi menghargai jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan yang membolehkan mereka meluangkan masa untuk bercuti bersama keluarga.
"Bagi petugas barisan hadapan, mereka hanya perlu bayar untuk satu malam bagi penginapan selama tiga malam. Kita gembira kerana sudah menerima tempahan daripada petugas barisan hadapan," katanya.
Pengurus Maneh Villa Pantai Tengah, Afina Zainon, menjelaskan pihaknya menerima banyak tempahan bagi pengunjung yang mahukan kemudahan kolam mandi peribadi dalam bilik.
"Tempahan diterima selepas pengumuman PKPPP meningkat hampir 40 hingga 50 peratus berbanding sebelum ini," katanya.
Jelas Afina lagi, tempahan pada cuti hujung minggu juga sudah penuh sehingga Ogos.
Sebelum ini, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, dilaporkan berkata kerajaan Kedah sudah bersedia untuk menerima kehadiran pelancong dari luar negeri itu susulan keputusan kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri dan aktiviti pelancongan dalam negara.
#alternatif #COVID-19 #hotel #Langkawi #pelancong #pelawat #PKPP
;