Pengusaha dakwa tiada pilihan, terpaksa naikkan kadar sewa mesin jentuai padi

Bernama
Ogos 18, 2024 19:00 MYT
Media sebelum ini melaporkan kebimbangan pesawah di Kedah dan Perlis berhubung desas-desus kenaikan sewa jentuai padi. - Gambar fail
YAN: Beberapa pengusaha berkata kenaikan kadar sewa mesin jentuai padi di Kedah dan Perlis daripada RM140 kepada RM200 bagi serelung (0.3 hektar) sawah adalah relevan untuk mengimbangi peningkatan pelbagai kos ketika ini.
Rosli Hasan, dari Kampung Banggol Besi di Pendang, berkata mereka sudah tiada pilihan selain menaikkan kadar sewa dan tidak lagi boleh mengekalkan harga lama.
"Jangkaan kami ialah naikkan kepada RM200 serelung, kami tiada pilihan untuk mengelakkan modal tinggi termasuk membeli alat gantian mesin padi yang naik berkali ganda.
"Kami juga kena tampung kos pemandu jentuai dan jika kami dapat bantuan diesel sekalipun, kami tidak boleh turunkan harga," katanya kepada pemberita pada sesi dialog antara pesawah dan pengusaha jentera menuai di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kebimbangan pesawah di Kedah dan Perlis berhubung desas-desus kenaikan sewa jentuai padi.
Seorang lagi pengusaha iaitu Mohd Faizal Haziar berkata walaupun belum ada keputusan muktamad mengenai kenaikan itu, perkara tersebut tidak mampu dielakkan pada musim ini.
"Kami datang untuk berbincang secara harmoni, kami tertekan pesawah pun tertekan tetapi mahu tidak mahu, (kadar sewa mesin jentuai padi) memang kena naik," katanya.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia Abdul Rashid Yob pula memohon agar bantuan insentif pembajakan dan penuaian sebanyak RM210 bagi sehektar semusim dinilai semula.
"RM210 itu terlalu sedikit sebab julat perbezaannya tinggi. Sewa mesin padi sahaja RM200 serelung atau kira-kira RM700 sehektar," katanya.
-- BERNAMA
#kenaikan kos #sewa mesin padi #mesin jentuai padi #kenaikan harga