Pengusaha chalet di Yan rugi RM95,000 selepas banjir kilat

Bernama
Oktober 21, 2021 22:45 MYT
Keadaan sekitar kawasan pusat penginapan dan chalet milik Siti Hajar Abdul Hamid,46 yang terletak di Jalan Titi Hayun mengalami kerugian anggaran RM95,000 selepas chaletnya itu rosak teruk akibat banjir kilat. -Bernama
YAN: Seorang pengusaha chalet di Jalan Titi Hayun di sini, mengalami kerugian kira-kira RM95,000 apabila chalet yang baru dibaiki selepas rosak teruk dalam tragedi kepala air dari Gunung Jerai pada Ogos lepas, sekali lagi terbabit dalam bencana banjir kilat yang berlaku di daerah ini semalam.
Tinjauan Bernama pada Khamis mendapati sebahagian struktur chalet tersebut pecah dan dibawa arus deras sungai berdekatan, manakala bahagian dalam kawasan premis berkenaan turut dipenuhi batu, ranting kayu serta lumpur tebal.
Pengusaha chalet, Siti Hajar Abdul Hamid, 46, berkata anggaran kerugian itu meliputi kos membina tembok baharu serta kerja baik pulih lain termasuk kolam renang yang rosak akibat banjir besar ekoran tragedi kepala air tersebut.
"Buat tembok baharu serta kerja membaik pulih sahaja sudah menelan belanja dalam RM80,000, tidak termasuk kami bayar sendiri untuk kerja-kerja mendalamkan sungai di sini sebanyak RM15,000.
"Bila terjadi lagi banjir seperti semalam, tembok baharu pecah dibawa arus deras, kolam pula dimasuki air dan berlumpur tebal selain bilik chalet turut rosak dimasuki air dan batu serta lumpur, duit yang kami keluarkan itu umpama 'hangus' begitu saja," katanya ketika ditemui di chalet berkenaan hari ini.
Siti Hajar berkata beliau yang mengusahakan chalet itu bersama suami, pada mulanya tidak berasa keberatan mengeluarkan belanja besar untuk membaik pulih chalet selepas tragedi kepala air kerana menganggap ia sebahagian cabaran orang berniaga.
Bagaimanapun, beliau dalam nada sebak berkata banjir pada kali ini menyebabkan dirinya cukup tertekan kerana sudah membelanjakan wang simpanan suami untuk kerja membaik pulih chalet, tetapi rosak semula dalam sekelip mata.
"Ini bukan setakat jatuh terduduk tetapi sudah tertiarap. Saya dah tak tahu nak cakap apa lagi," katanya yang memaklumkan chalet itu mula beroperasi pada 2019.
Katanya mereka sempat menjalankan perniagaan itu selama setahun sebelum operasi chalet dihentikan sementara akibat pandemik COVID-19 pada tahun lepas dan menjangkakan dapat kembali beroperasi sepenuhnya pada Disember ini, bagaimanapun bencana lain pula menimpa.
"Tempahan awal yang diterima sebelum banjir kilat semalam terpaksa kami batalkan dan lebih kurang RM3,000 wang deposit yang kami terima daripada pelanggan telah kami pulangkan, namun ada juga yang tak nak ambil balik duit deposit itu sebab nak sedekah kepada kami," katanya.
Sehubungan itu, Siti Hajar merayu kepada pihak berkaitan supaya bertindak segera melakukan kerja mendalamkan dan melebarkan sungai berdekatan situ agar kejadian sama tidak berulang, sekali gus membantu pengusaha chalet seperti beliau bertahan dalam perniagaan tersebut.
"Saya rasa selagi kerja-kerja mendalamkan sungai tidak dilakukan, kami tidak akan buka chalet ini. Sekalipun kami baik pulih sepenuhnya chalet ini untuk beroperasi, jika kejadian sama berulang kami juga yang rugi sebab duit dah keluar banyak," katanya.
Semalam media melaporkan sebanyak 160 rumah di beberapa kampung dalam daerah Yan terjejas akibat banjir kilat yang berlaku berikutan hujan lebat yang turun sejak petang semalam.
-- BERNAMA
#banjir #Pengusaha chalet #kepala air #Siti Hajar Abdul Hamid