Pengusaha butik pengantin Perak mohon tarikh untuk mula operasi perniagaan
Bernama
Jun 2, 2020 04:15 MYT
Jun 2, 2020 04:15 MYT
Persatuan Pengusaha Butik Pengantin negeri Perak memohon kerajaan menetapkan tarikh khusus, bagi membolehkan perniagaan mereka kembali beroperasi seperti biasa, selepas terjejas berikutan penularan wabak COVID-19.
Pengerusinya Mohammad Rizal Razali berkata, 86 pengusaha butik yang bernaung di bawah persatuan itu mengalami kerugian ribuan ringgit, selepas banyak pasangan mempelai membatalkan tempahan masing-masing sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana, 18 Mac lalu.
"Seandainya kerajaan dapat memberikan kami tarikh tetap, contoh seperti tiga atau empat bulan akan datang, kami yakin pelanggan akan mula datang untuk menempah pakej (perkahwinan) kepada kami," katanya dalam sidang media pada Selasa.
Beliau berkata, ramai dalam kalangan mereka kini terbeban dengan bayaran sewa kedai, gaji pekerja, dan pelbagai utiliti lain berkaitan, malah ada yang telah gulung tikar.
Dalam pada itu, salah seorang ahli persatuan itu, Wahidah Kamaru Zaman berkata pihaknya akan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, sekiranya kerajaan membenarkan perniagaan mereka kembali beroperasi.
Beliau juga berharap, perkara itu dapat ditangani sebaiknya, memandangkan bukan sahaja pengusaha butik yang terjejas malah ia meliputi pihak berkaitan seperti katering, jurufoto, dan penyedia khemah.
-- BERNAMA
#COVID-19
#gaji pekerja
#jurufoto
#katering
#koronavirus
#Mohammad Rizal Razali
#penyedia khemah
#perintah kawalan pergerakan
#perkahwinan
#Persatuan Pengusaha Butik Pengantin
#sewa kedai
#SOP