Pengusaha bot laju kesal khabar angin konon Empangan Kenyir pecah
Nur Fazlizai Ali
Oktober 4, 2022 11:18 MYT
Oktober 4, 2022 11:18 MYT
HULU TERENGGANU: Pengusaha bot laju di Tasik Kenyir, di sini, gusar apabila mendakwa kedatangan pelancong ke lokasi pelancongan itu merosot sejak kebelakangan ini.
Ia susulan penularan berita kononnya Empangan Kenyir akan pecah kerana menerima taburan hujan yang lebat sehingga menyebabkan banjir besar.
Beberapa pengusaha yang ditemui berkata lazimnya pada hari minggu, tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu meriah dengan kunjungan pelancong mendapatkan khidmat bot laju mengelilingi tasik berkenaan.
Namun penularan berita itu telah memberi impak negatif kepada pendapatan mereka susulan kekurangan pengunjung meskipun pada cuti hujung minggu.
Kalangan pengusaha juga mendakwa ia dipercayai akibat rasa takut serta bimbang tentang berita tular itu yang membuatkan pengunjung mengelak bertandang ke tasik tersebut.
"Memang terjejas sangat, jadi pelancong kurang nak datang. Mereka jadi takut.
"Tak patutlah berita sebegitu, kasihan pada orang di sini. Mereka cari makan. Kalau pelancong tak datang, bagaimana nak dapat pendapatan?" kata pengusaha bot Wan Hassan Wan Jusoh.
"Memang terjejaslah, sebelum ini hari cuti mingguan terutama hari Sabtu banyaklah dalam dua atau tiga trip. Sekarang ni dah tak ada trip langsung," kata Rosdi Bahari.
"Kalau harian kurang sikit melainkan yang dah buat tempahan.
"Setakat ni okey lagi, tak membimbangkan, melainkan hujan tak berhenti dalam jangka masa lama," kata Ikhram Shah Muammar Ubaidah Muhammad.
Para pengusaha bot laju Tasik Kenyir dalam pada itu berharap orang ramai tidak terpengaruh dengan khabar angin itu dan memaklumkan tasik tersebut masih selamat untuk dikunjungi.
Terdahulu tular berita di media sosial kononnya akan berlaku banjir besar di antara November tahun ini sehingga Mac tahun depan yang dibimbangi akan mengakibatkan kerosakan pada Empangan Kenyir.
Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengesahkan berita tular mengenai Empangan Kenyir yang kononnya akan pecah itu sebagai tidak benar.
Agensi itu memaklumkan beberapa paparan yang tersebar di media sosial adalah diambil daripada latih amal pelan tindakan kecemasan Empangan Kenyir yang diadakan pada 26 hingga 29 September 2022 lalu.
NADMA menasihati orang ramai agar tidak terpengaruh dengan berita tular di media sosial dan memastikan sumber yang sahih daripada media terkemuka.