Pengusaha bot 'island hopping' Langkawi harap dapat beroperasi segera
Abdul Hadi Che Awang
Jun 15, 2020 08:30 MYT
Jun 15, 2020 08:30 MYT
Meskipun sudah menerima kebenaran untuk mula beroperasi pada Isnin, namun lebih 40 pengusaha bot 'island hopping' di Pulau Langkawi tidak dapat berbuat demikian kerana mempunyai tunggakan bayaran insurans.
Pengerusi Pengusaha Bot Pelancongan Island Hopping Langkawi, Rasli Yahya berkata, keadaan itu berlaku kerana pengusaha tidak mampu membuat bayaran disebabkan tiada sebarang pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu.
Malah, pengusaha juga dibebani kos yang tinggi untuk memulakan operasi semula selain memperbaiki kerosakan bot yang sudah terlalu lama tersadai.
"Harapan kita, pihak insurans dan Jabatan Laut akan memberi sedikit kelonggaran supaya kami boleh beroperasi dalam keadaan yang sedia ada dengan secepat mungkin supaya sebagai tanda sokongan untuk memulihkan semula sektor pelancongan di Langkawi.
"Setelah empat bulan tidak beroperasi, kami merayu kepada pihak insurans agar boleh mengurangkan kadar yang ditetapkan," katanya kepada Astro AWANI.
Sementara itu, pengusaha Syarikat Ilham Langkawi Holidays, Normalawati Kassim, berharap agar kesemua pengusaha yang telah dibenarkan beroperasi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk mengurangkan bilangan penumpang dalam bot.
Beliau berkata, syarikatnya melaksanakan lebih banyak promosi termasuk menurunkan harga tambang bagi menarik lebih ramai pengunjung.
"Kita akan buat yang terbaik dan berharap pelancong ramai masuk ke sini. Kita akan ikut SOP yang ada dan akan membuat promosi dengan harga yang akan diturunkan.
"Kalau ikut keadaan sekarang, memang terasa terkesan sedikit... kapasiti bot pun terpaksa dikurangkan. Tapi terpaksalah ikut demi kebaikan semua pihak," katanya.
Sementara itu, Pegawai Jabatan Laut Langkawi, Ghazali Ahmad mejelaskan, pihaknya akan mengadakan satu perbincangan bersama pengusaha bot dan syarikat-syarikat insurans bagi menyelesaikan kemelut yang dihadapi.
Kata beliau, satu kaedah terbaik akan dicari agar semua pihak mendapat manfaat sekali gus merancakkan kembali industri pelancongan di Pulau Permata Kedah itu yang suram sejak tiga bulan lalu.
#bot pelancongan
#insurans
#Island Hopping
#Jabatan Laut
#kerugian
#Langkawi
#operasi
#PKP
#PKPB
#Rasli Yahya
#tiada pendapatan