Pengusaha bot di Kuala Besut harapkan benteng ombak disiapkan secepat mungkin

Nur Fazlizai Ali
Januari 9, 2022 08:01 MYT
Langkah meneruskan kerja mendalamkan muara akan turut memberi manfaat kepada penduduk beberapa kampung di sekitar kawasan Kuala Besut. - Astro AWANI
BESUT: Terminal pelancongan Kuala Besut yang biasanya sibuk dengan kehadiran pengunjung untuk ke Pulau Perhentian menjadi suram dan sepi sepanjang musim tengkujuh.
Pengerusi Pengusaha Bot Pelancong Kuala Besut, Muhammad Faizul Che Muhammad Noor berkata, walaupun tiada larangan dari kerajaan negeri namun pihaknya terpaksa menangguhkan operasi demi keselamatan pelancong.
Katanya, selain ombak besar dan angin kencang, keadaan muara Kuala Besut menyukarkan pengusaha bot untuk berulang alik membawa pelancong ke pulau.
"Bagi saya sekarang ini, kerajaan harus mencari jalan penyelesaian secepat mungkin.
"Masalah besar buat kami di muara ini ombak sangat besar jadi ia menyukarkan bot-bot kami untuk keluar dan masuk.
"Jika benteng ombak di muara sungai ini tidak siap, jadi masalah bagi kami untuk keluar dan masuk kawasan tersebut," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman berkata, masalah berkenaan sudah diajukan kepada kerajaan dan mendapat reaksi positif.
"Ianya dalam proses 'retender', maksudnya akan ditender semula secepat mungkin dan insyaAllah akan ada kontraktor yang dipanggil kontraktor penyelamat akan menyiapkan benteng ombak ini dalam masa yang segera yang mungkinlah," katanya.
Menurutnya, langkah meneruskan kerja mendalamkan muara akan turut memberi manfaat kepada penduduk beberapa kampung di sekitar kawasan Kuala Besut.
#musim tengkujuh #benteng ombak #ombak besar #angin kencang
;